‘Program Infak Aidilfitri’ raikan asnaf sempena Ramadan/Syawal

Syeikh Fadzil (kanan) dan Syeikh Zakaria (kiri) memegang poster kempen Infak Aidilfitri yang dilancarkan di Menara Zakat, Alor Setar pada Isnin.
Syeikh Fadzil (kanan) dan Syeikh Zakaria (kiri) memegang poster kempen Infak Aidilfitri yang dilancarkan di Menara Zakat, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melancarkan Program Infak Aidilfitri sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, seramai 12,892 keluarga asnaf di Kedah akan menerima sumbangan tiga ekor ayam segar menerusi program berkenaan.

“LZNK menyasarkan kos sumbangan mencecah RM522,000 dan orang ramai yang ingin menyumbang boleh melalui portal Asnaf Care di https://asnafcare.com.my,” katanya pada sidang akhbar di Menara Zakat di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Mengulas lanjut, Syeikh Zakaria yang juga Mufti Kedah berkata, program pertama kali diperkenalkan itu bertujuan mengimbangi kos peningkatan harga barang mentah di pasaran untuk membantu keluarga asnaf.

“Serentak dengan itu, kita melancarkan kempen bersedekah RM1 setiap orang untuk menjayakan program itu. Jika 500,000 orang sedekahkan RM1 seorang, jumlah itu memberi nikmat yang besar kepada golongan sasaran itu.

"Keluarga terbabit dapat berjimat sekitar RM45 dan wang itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan lain,” katanya.

Menurutnya, idea melancarkan Infak Aidilfitri itu tercetus apabila ada pembayar zakat yang membayar lebih atau enggan mengambil wang lebihan dan diniatkan sebagai sedekah menyebabkan LZNK menyalurkan lebihan wang berkenaan ke dana program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka bukan sahaja membayar fitrah tetapi pada masa sama bersedekah. Kelebihan bersedekah ketika Ramadan ialah diberikan pahala berganda dan saya mengalu-alukan orang ramai menyumbang semampu yang boleh,” katanya.

Syeikh Zakaria berkata, setakat ini, kutipan mencecah RM8,300 dan sebuah syarikat turut menyatakan hasrat menyumbang sebanyak RM20,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!