EAIC syor tambah baik fasiliti agensi penguat kuasa di KLIA
SEPANG - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan mengemukakan syor kepada kerajaan untuk menambah baik fasiliti imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terutamanya di pejabat operasi, kata Pesuruhjaya EAIC, Tan Sri Mahmood Adam.
Ia adalah hasil lawatan EAIC ke KLIA pada Isnin bagi meninjau operasi harian agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan (KKM) serta kekangan yang dihadapi mereka di lapangan terbang antarabangsa itu.
Bercakap dalam sidang media selepas tinjauan tersebut, Mahmood berkata, antara syor penambahbaikan fasiliti imigresen adalah untuk menambah bilangan kaunter di pejabat operasi.
Menurutnya, pejabat operasi itu pada masa ini mempunyai empat kaunter dengan kemampuan menguruskan 30 pelawat asing sahaja pada satu-satu masa dan ia akan menjadi sesak selain berlaku kelewatan urusan terutamanya pada hari Jumaat.
Dalam pada itu, Mahmood berkata, antara maklum balas yang diterima untuk KKM adalah mengenai kekurangan staf iaitu mereka hanya mempunyai 200 kakitangan.
“Bilangan kecil inilah yang mengendalikan urusan saringan Covid-19 setiap kali pelawat tiba di pintu masuk negara dan cadangan akan dibuat untuk menambah bilangan staf,” katanya.
Mahmood berkata, syor berkaitan akan dibincangkan dalam mesyuarat EAIC dalam masa terdekat dan sesi libat urus akan turut diadakan dengan agensi terlibat bagi tindakan seterusnya sebelum dibawa kepada kerajaan.
Berdasarkan pemerhatian EAIC katanya, tatacara pengurusan operasi agensi penguatkuasaan di KLIA itu adalah teratur dan sistematik termasuk tatacara pemeriksaan saringan kesihatan, pemeriksaan pasport imigresen, kawalan pemeriksaan kastam dan operasi pemantauan cawangan khas polis.
Mengenai aduan melibatkan agensi penguatkuasaan di KLIA, Mahmood berkata, EAIC mencatatkan 18 aduan sahaja sejak 2015 dan kesemua aduan telah diselesaikan.
“EAIC juga berharap agar agensi penguatkuasaan seliaan memberi kerjasama baik dengan kami bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Penguat kuasa juga diingatkan agar tidak sesekali berkompromi terhadap sebarang salah laku,” katanya.
Lawatan kira-kira sejam itu turut disertai Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Datuk Zainun Ali, Pesuruhjaya EAIC Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan wakil agensi penguatkuasaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!