Peniaga terkejut, kecewa bazar Ramadan dibatalkan

Peniaga buntu menerima keputusan mengejut daripada kerajaan negeri yang membatalkan bazar Ramadan di seluruh Kelantan tahun ini. Gambar kecil dari kiri: Mohd Faesal, Latifah, Nik Nor Syamsuria
Peniaga buntu menerima keputusan mengejut daripada kerajaan negeri yang membatalkan bazar Ramadan di seluruh Kelantan tahun ini. Gambar kecil dari kiri: Mohd Faesal, Latifah, Nik Nor Syamsuria
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan kerajaan negeri membatalkan bazar Ramadan di Kelantan dua hari sebelum puasa akibat penularan Covid-19 menyebabkan peniaga buntu dan sedih mengenangkan modal yang sudah dilaburkan.

Ada peniaga yang mengakui terpaksa bergolok gadai barang kemas bagi memastikan dapat mencari rezeki sepanjang Ramadan.

Seorang peniaga, Latifah Mohd Noor, 39, berkata, dia menggadaikan barangan kemas dan berhutang hampir RM7,000 untuk menjalankan perniagaan nasi kerabu bermula Selasa.

Katanya, persiapan barangan mentah seperti sambal ikan 40 kilogram (kg), kelapa goreng 20kg dan dua guni beras untuk menjual nasi kerabu di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sudah siap dibeli.

“Terkejut, kecewa dan menangis apabila tinggal dua hari saja lagi puasa tetapi bazar dibatalkan.

“Saya menggadaikan barang kemas anak, barang kemas saya sendiri dan berhutang dengan adik-beradik bagi modal berniaga tetapi tidak jadi. Mana nak cari duit bayar hutang, macam mana nak tebus barang kemas,” katanya sambil menangis ketika ditemui di tapak bazar di pekarangan stadium di sini pada Isnin.

Ibu empat anak itu berkata, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan pada hari biasa dengan pendapatan RM30 sehari manakala bergantung sepenuhnya pendapatan menjual nasi kerabu di bazar Ramadan tersebut pada bulan puasa.

“Semasa kebenaran meniaga di bazar diumumkan dua minggu lalu, saya mula membuat persiapan menempah bahan-bahan mentah seperti 20kg ayam untuk dibakar dan digoreng berempah sebagai lauk nasi kerabu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila pembatalan dibuat mengejut pada saat-saat akhir begini, ke mana saya nak bawa semua barang-barang mentah tu, di mana saya perlu buka gerai,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di tapak berkenaan mendapati khemah yang didirikan oleh penganjur pada Jumaat lalu sudah dibuka susulan arahan pembatalan semua penganjuran bazar Ramadan, Aidilfitri dan Madinah Ramadan oleh Kerajaan Kelantan pada Ahad.

Peniaga roti John, Mohd Faesal Yusoh, 37, pula merayu kerajaan negeri meneliti semula keputusan tersebut kerana ramai peniaga yang mengalami kerugian.

“Saya sudah membeli 1,000 butir telur untuk dan daging sudah ditempah dengan modal RM6,000.

“Saya mohon kerajaan kaji semula kerana peniaga bazar sudah bersedia dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang kemas dengan hadkan jumlah peniaga dari 300 ke 100 malah jumlah pengunjung pada satu-satu masa juga dipantau rapi,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga air soya, Nik Nor Syamsuria Mat Jusoh, 46, berkata, dia menjual kereta jenis Perodua MyVi miliknya untuk menyiapkan pembinaan rumah yang terbengkalai dan mengambil RM5,000 daripada itu sebagai modal berniaga.

“Rasa sayu sebab saya bergantung harap pada pendapatan menjual air soya di bazar Ramadan untuk meneruskan kehidupan.

“Saya harap kerajaan dapat membantu kami atau memberi pampasan kepada kami atas kerugian yang ditanggung,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan, Aidilfitri, Madinah Ramadan di Kelantan dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kelantan mohon maaf batal bazar Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!