PTPTN Prihatin peruntuk RM1 juta bantu asnaf
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM1 juta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu PTPTN Prihatin bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) dalam mengurus dan menyelaras bantuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mengenal pasti penerima yang layak.
Katanya, sumbangan tersebut melibatkan penerima seramai 5,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur.
“PTPTN sentiasa menyantuni masyarakat yang memerlukan terutama golongan asnaf. Sebanyak RM500,000 telah disalurkan kepada Dana Kita bagi pemberian barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung dan sebagainya.
“Sebanyak RM500,000 lagi akan diberikan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi menggalakkan budaya penabungan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, setiap keluarga asnaf akan menerima sumbangan RM200, iaitu RM100 membabitkan barangan keperluan harian dan selebihnya diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i bagi seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah dalam keluarga tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut menubuhkan pasukan sukarelawan iaitu Skuad PTPTN Prihatin bagi memastikan pemberian sumbangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, idea penubuhan skuad tersebut susulan daripada program CSR PTPTN dalam membantu masyarakat ekoran daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.
Tambahnya, objektif Skuad PTPTN Prihatin adalah untuk melaksanakan dan menggerakkan program kesukarelawan dan kemanusiaan yang diterajui oleh PTPTN.
“Ia bukan sahaja mencerminkan sikap cakna dan prihatin tetapi bagi membina imej positif PTPTN dalam kalangan masyarakat. Melalui Skuad PTPTN Prihatin ini kami berkongsi dan membantu masyarakat yang memerlukan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban golongan asnaf di Kuala Lumpur. Dalam suasana yang mencabar ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!