KKMM, MAB rangka pelan kerjasama, tingkat pengehakupayaan OKU: Saifuddin

Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan merangka satu pelan kerjasama jangka masa panjang bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dalam usaha meningkatkan pengehakupayaan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri berkenaan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ketika ini KKMM bersama agensinya sedang giat mengkaji kaedah untuk meningkatkan keupayaan golongan itu khususnya dalam bidang latihan dan kemahiran.

"Cabaran utama yang dihadapi komuniti OKU ialah mendapatkan peluang pekerjaan dan ini agenda utama yang akan diperincikan. Kepakaran yang dimiliki oleh golongan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan tidak akan dibiarkan dibazir begitu sahaja," katanya.

Teks ucapan Saifuddin dibacakan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek pada majlis pelancaran radio komuniti orang buta dalam talian, Radio MAB di Kompleks MAB di sini yang turut dihadiri Naib Presidennya Dr S Hadi Abdullah.

Mengenai Radio MAB, Saifuddin yakin ia mampu menjadi medium yang bermanfaat kepada OKU dan masyarakat termasuk dalam membantu menjana ekonomi melalui konsep perniagaan sosial.

Beliau berkata, Radio MAB bukan sahaja berfungsi sebagai radio semata-mata, malah berkemampuan untuk melatih dan membekalkan tenaga kerja mahir OKU dalam bidang penyiaran selain mengetengahkan bakat golongan itu.

"Radio MAB sangat mustahak kerana ada banyak perkara yang disampaikan kerajaan mungkin kurang difahami sebilangan golongan OKU, justeru inisiatif seumpama ini diharap dapat diperluaskan pada masa akan datang," katanya.

Radio MAB mula bersiaran secara dalam talian sejak 31 Disember lepas dengan jumlah pendengar tempatan dan luar negara kini mencecah 4,000 orang setakat ini. Siaran Radio MAB boleh didengari menerusi aplikasi Zeno FM. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!