'Kami sepatutnya dapat tiga mata'

Antara aksi menarik pertemuan PDRM FC menentang Perak II pada Ahad. - Foto PDRM Football Club
Antara aksi menarik pertemuan PDRM FC menentang Perak II pada Ahad. - Foto PDRM Football Club
A
A
A

KETUA Jurulatih Perak II, Syamsul Saad sedikit kecewa selepas pasukan kendaliannya itu sekadar seri 1-1 ketika menentang PDRM FC dalam aksi Liga Premier pada Ahad.

Menurutnya, Perak II seharusnya meraih tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut berdasarkan peluang yang dimiliki para pemainnya dalam perlawanan itu.

"Kalau lihat keputusan perlawanan, kami memang sasarkan untuk raih tiga mata dan kita memang ada peluang untuk menang. Mungkin dari segi pengalaman pemain kurang apabila berdepan peluang untuk jaringkan gol.

"Kami melepaskan beberapa peluang keemasan dan ia bukan berlaku hari ini sahaja malah dalam beberapa perlawanan yang lepas. Namun, saya perlu bersyukur mendapat satu mata di sini selain PDRM juga bermain dengan baik," katanya.

Dalam perlawanan itu, Perak II terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Adib Abdul Ra'op pada minit ke-50 sebelum jaringan sendiri pemain Perak II Amirul Ashraf Ariffin dua minit selepas itu memberikan gol penyamaan kepada PDRM FC.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui perlu menambah baik terutama di jentera pertahannanya yang agak goyah apabila ditekan pihak lawan.

"Dalam beberapa perlawanan terakhir, pertahanan saya sedikit kucar kacir termasuk perlawanan malam ini apabila mereka ditekan oleh pemain import. Perkara itu saya perlu perhalusi dan perbaiki.

"Saya juga harap semua pemain dan belajar daripada pengalaman untuk memastikan dapat perbaiki permainan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!