Lang Merah benam Felda United

Zaquan Adha (tengah) menjaringkan gol sulung Lang Merah. Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
Zaquan Adha (tengah) menjaringkan gol sulung Lang Merah. Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

SASARAN Kedah untuk meraih mata penuh di Stadium Darul Aman pada aksi ketiga Liga Super 2019 tercapai apabila membenam Felda United 4-0, sebentar tadi.

Zaquan Adha Abd Razak terlebih dahulu meletakkan Kedah di hadapan 1-0 pada minit ke-15 selepas menyepak masuk bola percubaan pertama Jonatan Bauman yang dikeluarkan oleh penjaga gol pelawat, Norazlan Razali.

Tuan rumah yang turun memburu tiga mata beraksi di laman sendiri pertama kali musim ini terus melancarkan asakan bertali arus ke kubu lawan namun berjaya dipatahkan oleh benteng The Fighters.

Bagaimanapun usaha berterusan Lang Merah membuahkan hasil apabila melebarkan jurang kedudukan kepada 2-0 hasil percubaan menarik Anmar Fares Al Mubaraki pada minit ke-41 dari luar kotak penalti bagi menewaskan Norazlan buat kali kedua.

Jaringan menarik Anmar Fares (tengah) dari luar kotak penalti mengelirukan penjaga gol pelawat, Norazlan. Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
Jaringan menarik Anmar Fares (tengah) dari luar kotak penalti mengelirukan penjaga gol pelawat, Norazlan. Foto: AHMAD ZAKI OSMAN

Pada masa tambahan separuh masa pertama, Fazrul Danel dan Fernando Ortega hampir mencetak nama selaku penjaring gol namun percubaan mereka terkena tiang dan sedikit tersasar.

Tuan rumah terus garang pada separuh masa kedua pada minit ke-52 apabila Syakir Hamzah menanduk gol ketiga hasil sepakan sudut oleh Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar untuk kedudukan 3-0.

Kedah terus melebarkan jurang kepada 4-0 pada minit ke-73 melalui Fazrul yang pantas menolak masuk bola muntah yang sebelum itu ditepis oleh Norazlan hasil sepakan percuma Renan Alves.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!