Tarawih, bazar Ramadan kembali 'hiasi' Ramadan tahun ini
KUALA LUMPUR- Lebih setahun Covid-19 melanda negara, Ramadan kali ini kembali ceria bagi umat Islam apabila pergerakan rakyat yang terbatas tahun lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan tahun ini.
Berbeza daripada tahun lepas apabila solat sunat tarawih hanya dibenarkan di rumah bersama keluarga namun tahun ini solat sunat berkenaan kembali dibenarkan di masjid dan surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.
Lebih mengujakan pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang tidak dibenarkan beroperasi tahun lalu kembali dibuka tahun ini, bagi melengkapkan sambutan bulan mulia ini.
Bagi memastikan pelaksanaan solat tarawih berjemaah tidak mencetuskan kluster baharu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail memberi jaminan 790 masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah bersedia menanti ketibaan jemaah.
"Setiap masjid dan surau telah menubuhkan jawatankuasa pasukan petugas bagi menyelia dan mengawal SOP Jawi dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pihak penguat kuasa dari PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Jawi juga akan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan semua SOP dipatuhi, walaupun masjid dan surau berada di hujung mana pun, mereka tidak akan terlepas dari pantauan,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Majlis berbuka puasa hanya dibenarkan untuk ahli jawatankuasa dan petugas sahaja manakala moreh tidak dibenarkan, tetapi bagi masjid dan surau yang mampu, mereka boleh menyediakan makanan berbungkus untuk dibawa pulang selepas solat.
Di Negeri Sembilan, Imam Besar Dr Muhammad Yusry Mazlan menasihatkan semua imam di negeri ini membaca surah yang pendek bersesuaian dengan situasi negara masih diancam pandemik Covid-19.
“Persiapan berjalan lancar, semua masjid telah diterangkan tentang prosedur operasi standard dan saya berharap semua jemaah memahami dan mematuhinya,” katanya.
Di Kelantan, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata kebenaran solat tarawih serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di seluruh negeri ini sepanjang bulan Ramadan harus direbut semua umat Islam.
Beliau berkata ibadah pada bulan Ramadan merupakan 'durian runtuh’ namun umat Islam perlu sedar situasi pandemik Covid-19 masih belum pulih justeru mereka yang datang ke masjid dan surau perlu patuh pada setiap SOP yang ditetapkan.
Tinjauan di ibu negara Kuala Lumpur, pula mendapati peniaga sedang melakukan persiapan akhir sebagai memulakan hari pertama operasi mereka esok.
Peniaga Nor Hafizah Abdullah, 40, yang berniaga air di bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri Cheras berkata kebanyakan peniaga akan memulakan persiapan gerai termasuk memasang khemah pada petang ini dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah menandakan tapak bagi setiap gerai.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata pihak penganjur bazar Ramadan juga diwajibkan untuk mengupah sekurang-kurangnya dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memantau pematuhan SOP bergantung kepada keluasan bazar.
Tinjauan Bernama di Pasar Chow Kit hari ini, mendapati orang ramai masih tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan harian di saat-saat akhir dan peniaga daging import Mohd Hussein Hameed Ali, 42, berkata beliau berjaya menjual 500 kilogram daging semalam, lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.
Pengurus Pasar Ramadan di Melaka International Trade Center (MITC) di Melaka, Saiful Abu, 38, mengingatkan peniaga agar mematuhi setiap SOP yang ditetapkan seperti menyediakan QR Kod aplikasi MySejahtera.
Sementara itu, di Alor Setar, peniaga yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana dapat berniaga di Pasar Ramadan pada tahun ini, dan sudah membuat segala persiapan bagi memastikan setiap SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi.
Norasyikin Ahmad, 36, berkata dia gembira kerana dapat menjual nasi dan lauk campur bersama suaminya Rashid Bashir, 30, di Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman manakala Yunus Hamid, 62, bersyukur dibenarkan meneruskan kebiasaannya sejak 31 tahun lalu menjual kuih tradisional di Kompleks Pekan Rabu.
Di Perak, pengunjung di Greentown Mall Ipoh, mula membeli kurma sebagai tradisi menyambut Ramadan manakala orang ramai di Pasar Jelapang Ipoh pula dilihat membeli pelbagai stok bahan mentah seperti sayur dan ikan segar untuk sahur dan berbuka.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perak (KPDNHEP) Saifullizan Kamarul Zaman yang meninjau bekalan keperluan asas di Pasar Besar Awam Ipoh mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan sesuka hati. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!