Klopp yakin Liverpool bangkit berdepan Real Madrid
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp percaya skuad kendaliannya itu mampu bangkit ketika berdepan Real Madrid pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara di Anfield, pada awal pagi Khamis.
Menurut Klopp, biarpun ketinggalan 1-3, The Reds dilihat mampu memadamkan kelebihan dimiliki Los Blancos itu berikutan kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa 10 April lalu.
Katanya, kemenangan itu diharap memberikan suntikan semangat kepada pemain untuk melakar kemenangan pada perlawanan berkenaan.
“Kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa 10 April lalu, ternyata sesuatu yang bermakna buat kami kerana ia adalah kemenangan pertama kami di sini (Anfield), sejak 16 Disember lalu.
“Oleh itu, kini kami perlu mengekalkan momentum kemenangan ini bagi berdepan pasukan gergasi La Liga, Real Madrid.
“Diharapkan kesemua pemain bersedia secukupnya dan memberikan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan berkenaan nanti,” katanya.
Pada aksi suku akhir pertama lalu, Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid di gelanggang lawan, 7 April lalu.
Bagaimanapun, Klopp yakin skuad kendaliannya itu mampu memadamkan defisit gol berkenaan pada aksi suku akhir kedua kali ini kerana memiliki sedikit ‘bekalan’ menerusi jaringan di tempat lawan (away goal) oleh Mohamed Salah.
“Kami akan lakukan apa sahaja pada perlawanan ini dan kami memerlukan aksi yang sempurna untuk berdepan Real Madrid.
“Pada aksi suku akhir pertama lalu, aksi kami dilihat masih belum cukup memuaskan dan kami turut menjangkakan perlawanan sukar berdepan pasukan hebat seperti Real Madrid nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!