Polis cadang Neelofa, suami dikompaun
KUALA LUMPUR - Polis menyerahkan kertas siasatan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut berhubung majlis perkahwinan pasangan itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya sudah mencadangkan untuk tindakan kompaun.
"Kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya. Kita sudah bagi cadangan untuk mereka dikompaun," katanya pada Selasa.
Pada 5 April lalu, Mohamad Zainal mengesahkan merekodkan keterangan dua individu itu berhubung majlis perkahwinan yang didakwa melanggar SOP PKP.
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa mohon maaf isu pelanggaran SOP
Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan membabitkan majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz.
Mohamad Zainal dipetik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada 27 Mac lalu.
Isu pelanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!