Jutawan muda Odajer.com bantu peniaga bazar Ramadan
KOTA BHARU - Prihatin terhadap nasib peniaga yang terjejas akibat pembatalan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini mendorong jutawan muda tampil membantu.
Muhammad Amar Mirza Abdul Kadir Jailani, 27, yang merupakan pemilik sistem tempahan menerusi platform e-dagang Odajer.com menyalurkan bantuan dengan memberi 10,000 akaun bernilai RM20 juta secara percuma.
Beliau berkata, bantuan kilat itu bermula serta-merta selama sebulan sepanjang Ramadan bagi membantu peniaga memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Menurutnya, prosesnya sangat mudah iaitu peniaga hanya perlu mendaftar di lama web Odajer.com dan boleh terus memulakan urusan perniagaan dengan memuat naik gambar-gambar produk jualan.
“Selepas mendaftar, peniaga akan dibekalkan kod bar yang perlu dicetak dan dilekatkan di mana-mana sahaja lokasi rangkaian niaga yang dimahukan.
“Peniaga juga boleh memuat naik kod bar berkenaan di medium media sosial Facebook atau aplikasi WhatsApp supaya pelanggan mengimbas dan boleh terus membuat tempahan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Alkaff Mobile Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Pemuda berkelulusan Pengajian Syariah di Pondok Ribat Fatah dari Yemen itu berkata, setiap satu akaun sistem yang didermakan itu berharga RM2,497 dan peniaga juga akan diberi bimbingan kelas pengendalian serta kelas perniagaan e-dagang secara percuma.
“Saya juga anak peniaga dan dapat merasakan keperitan mereka yang melaburkan modal tetapi tidak ada tempat hendak berniaga.
“Saya ingin lebih ramai peniaga mendigitalkan peniagaan. Odajer.com membantu membekalkan sistem dan tidak campur tangan urusan perniagaan mahupun penghantaran.
“Odajer.com juga tidak mengambil komisyen atau mengenakan sebarang caj tersembunyi, manakala selebihnya doakan saya murah rezeki,” katanya yang berasal dari Pasir Tumbuh di sini.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan seramai 100 peniaga di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini buntu memikirkan lokasi untuk berniaga sepanjang bulan Ramadan selepas Kerajaan Kelantan membatalkan penganjuran bazar Ramadan, Aidilfitri dan Madinah Ramadan kerana risiko ancaman pandemik Covid-19.
Kelantan sejak seminggu lalu menunjukkan trend kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) yang sangat tinggi dengan terkini pada Isnin 1.12 melebihi paras nasional 1.06.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!