238 kompaun dikeluarkan di Machang

Ganti Jimmy
Ganti Jimmy
A
A
A

MACHANG - Sebanyak 238 kompaun dikeluarkan Polis Machang bermula Mac tahun lalu sehingga Februari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, antara kesalahan tertinggi yang dilakukan ialah kegagalan memakai pelitup muka terutamanya ketika mereka berurusan di luar rumah.

"Kegagalan memakai pelitup muka adalah kesalahan paling tinggi dicatatkan di daerah ini dan kami memang tidak berkompromi dengan isu ini kerana pelbagai pendedahan telah kita lakukan dan semua sedia maklum bahawa ia perlu menjadi normal baharu masyarakat.

"Selain itu, kegagalan individu daftar MySejahtera semasa memasuki premis. sama ada mereka terlupa atau ada yang sengaja untuk tidak mengisi dengan pelbagai alasan yang tidak lojik.

"Perkara ini sangat penting kerana jika berlakunya kes-kes penularan, maka melalui sistem inilah akan memudahkan kita untuk mengesan kontak dan seterusnya berurusan dengan mereka,"katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Ganti (kiri) mengaminkan doa semasa menziarah ke rumah Sarjan Mejar Basri Darus iaitu Bekas Timbalan Ketua Polis Balai Pengkalan Kubor yang kini terlantar akibat kanser prostat.
Ganti (kiri) mengaminkan doa semasa menziarah ke rumah Sarjan Mejar Basri Darus iaitu Bekas Timbalan Ketua Polis Balai Pengkalan Kubor yang kini terlantar akibat kanser prostat.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan Program Jalinan Kasih bersama pesara Polis sempena peringatan Hari Polis ke 214 di sini.

Rombongan tersebut melawat tiga buah rumah iaitu di Bukit Ilmu, Pulai Chondong dan Kampung Padang Selising.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ganti berkata, pihaknya juga sentiasa meningkatkan pemantauan di seluruh kawasan terutamanya bandar bagi memastikan masyarakat patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, pemantauan tersebut juga melibatkan beberapa agensi lain yang memulakan tugasan seawal jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ganti memberitahu, jumlah kes jenayah di daerah tersebut juga menurun 21 peratus bagi Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, tahun lalu, sebanyak 39 kes dicatatkan namun ia menurun kepada 31 kes tahun ini melibatkan kesalahan pecah rumah, curi kenderaan, rogol dan sebagainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!