15 peniaga diberi notis jual air kosong lebih RM1
GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunan (KPDNHEP) Pulau Pinang memeriksa 35 premis perniagaan dalam Ops Catut 8.0 (air kosong) sejak 7 April hingga semalam (Isnin) dan 15 peniaga diberikan notis.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemeriksaan itu membabitkan restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung di seluruh Pulau Pinang oleh penguat kuasa dari KPDNHEP Pulau Pinang, Cawangan Timur Laut dan Seberang Perai Utara.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 15 peniaga telah dikenakan notis untuk memberi maklum balas terhadap justifikasi harga yang ditetapkan.
"Susulan daripada operasi yang dilaksanakan, kita mengeluarkan 15 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
"Peniaga diberikan tempoh lima hari untuk memberikan maklum balas ke atas notis yang diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, berdasarkan kutipan maklumat harga daripada pemeriksaan yang dijalankan sehingga semalam, purata harga air kosong yang dijual adalah lingkungan 50 sen.
"Ada peniaga menjual minuman air kosong melebihi RM1 segelas dan oleh itu, notis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumbalas penetapan harga oleh peniaga.
"KPDNHEP Pulau Pinang tidak berkrompomi kepada mana-mana peniaga yang cuba mengaut keuntungan yang tidak munasabah dari penjualan air kosong pada harga yang melampau atau tidak wajar," katanya.
Beliau berkata, sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDNHEP untuk tindakan antaranya melalui saluran aduan Whatsapp KPDNHEP di talian 019-279 4317, call centre di talian 1 800 886 800 atau Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang, 043840245.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!