MAINS sasar kutipan zakat RM200 juta

Abdul Aziz (tengah) melancarkan Perasmian Bulan Wakaf Negeri Sembilan di Seremban pada Selasa.
Abdul Aziz (tengah) melancarkan Perasmian Bulan Wakaf Negeri Sembilan di Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah sebanyak RM200 juta sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, pada tahun lalu, MAINS berjaya membuat kutipan zakat fitrah sebanyak RM4.568 juta, manakala zakat harta sebanyak RM139 juta.

"Kita letakkan sasaran sebanyak RM200 juta tahun ini. Tapi kalau tidak dapat pun, lebih daripada tahun lepas pun sudah cukup baik.

"Walaupun tahun lepas kita dilanda dengan pandemik Covid-19, kita dapat lebih RM140 juta nilai keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bulan Wakaf Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Berkenaan wakaf, beliau berkata, MAINS melancarkan kempen wakaf dengan potongan gaji serendah RM5 sebulan bagi kakitangan kerajaan dan swasta.

Katanya, cara itu lebih mudah, sekali gus memberi peluang kepada semua masyarakat untuk beramal dengan berwakaf.

"Bagi saya, ini perkembangan baharu apabila kita boleh berwakaf secara tunai berbanding dahulu kita lebih biasa dengar orang wakaf tanah dan harta.

"Kita yakin ia akan dapat sambutan baik kerana cara pemotongan gaji itu lebih mudah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, penyaluran agihan wakaf di negeri ini terdiri daripada empat aspek iaitu perubatan, pendidikan, keagamaan dan sosioekonomi.

Jelas Abdul Aziz, keperluan dana untuk wakaf perubatan paling tinggi berikutan kos perubatan yang mahal selain ramai golongan kurang berkemampuan termasuk golongan asnaf.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!