10 sekolah terjejas ribut akan diselenggara segera: Rina

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melawat di beberapa buah sekolah yang rosak akibat kejadian ribut pada petang semalam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melawat di beberapa buah sekolah yang rosak akibat kejadian ribut pada petang semalam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 sekolah di Parlimen Titiwangsa yang terjejas teruk akibat kejadian ribut pada Isnin akan diselenggara dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun berkata, penyelenggaraan tersebut perlu disegerakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung tidak terjejas.

"Saya telah berhubung dengan YB Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) semalam (Isnin) dan beliau telah mengarahkan supaya proses penyelenggaraan dan baik pulih disegerakan," katanya ketika meninjau keadaan sekolah-sekolah yang terlibat itu pada Selasa.

Dalam kejadian ribut lewat petang Isnin, enam sekolah rendah dan empat sekolah menengah dalam Parlimen Titiwangsa rosak teruk apabila bumbung di beberapa bangunan yang melibatkan kelas dan makmal komputer diterbangkan angin kencang.

Sekolah menengah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, SMK Datuk Lokman, SMK St Gabriel dan SMK Cochraine.

Sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Pandan 1, SK Puteri Pandan 2, SK St Gabriel, SK Taman Maluri, SK Cochrane Perkasa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tsun Jin.

Sementara itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bahagian aset Kementerian Pendidikan telah ke sekolah-sekolah terlibat bagi menilai kerosakan untuk menentukan kos baik pulih dan penyelenggaraan sekolah-sekolah berkenaan.

Setakat ini, katanya, beliau difahamkan tiada sebarang penangguhan sesi pembelajaran kerana murid-murid telah dipindahkan ke kelas khas mengikut prosedur operasi standard ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!