Balu, anak bekas penjaga gol KL City terima faedah Perkeso
KUALA LUMPUR - Waris kepada bekas penjaga gol KL City, Mohd Hanim Tahir, 46, yang meninggal dunia pada Mac lalu akibat serangan jantung menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
Balu arwah, Intan Ismail, 46, bersama tiga anaknya menerima pencen penakat sebanyak RM1,900 sebulan dan bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.
Simbolik penyerahan telah disampaikan oleh Pengarah Perkeso Wilayah Persekutuan, Mustafa Draman di rumah keluarga berkenaan di Bandar Tun Razak, Cheras pada Selasa.
Intan yang ditemui pemberita pada majlis penyerahan itu meluahkan rasa syukur dengan pencen penakat yang diterimanya itu dan menyifatkan skim faedah Perkeso merupakan langkah tepat dalam menjaga kebajikan pencarum dan waris.
"Benda seperti ini kita kurang peka dan tak tahu, saya sendiri baharu tahu yang pencarum masih boleh mendapatkan bantuan daripada Perkeso walaupun dah lama tidak bekerja tetapi masih boleh membuat tuntutan.
"Sedikit sebanyak pencen penakat ini dapat membantu dan mengurangkan beban saya yang bekerja sendiri bagi menampung ketiga-tiga anak yang masih belajar, seorang di peringkat ijazah dan dua lagi diploma," katanya.
Arwah Mohd Hanim merupakan bekas penjaga gol pasukan Kuala Lumpur FA sekitar tahun 90-an dan pernah menjadi jurulatih penjaga gol untuk pasukan sama selain merupakan pekerja di syarikat RMC Hype Enterprise sejak Ogos 2020 hingga Februari lalu.< />
Sementara itu, Mustafa berharap lebih ramai golongan pekerja membuat caruman dengan Perkeso yang menyediakan pelbagai faedah untuk menampung mereka ketika berdepan musibah seperti kemalangan atau kematian.
Beliau berkata, syor tersebut juga termasuk dalam kalangan atlet atau pemain bola sepak yang bernaung dalam sesebuah kelab dan persatuan.
"Mana-mana persatuan berdaftar dianggap majikan sementara pemain atau atlet di bawahnya dianggap sebagai pekerja. Apabila ada hubungan antara majikan dan pekerja maka mereka layak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Keselamatan Pekerja Perkeso dan ada caruman yang perlu dijelaskan.
"Jadi apabila berlaku sebarang kemudaratan atau kecederaan atau kematian, pencarum layak menerima faedah di bawah akta tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!