12 premis judi online diserbu, 19 ditahan

Wang tunai dan pelbagai barangan lain dirampas dalam 12 serbuan yang dijalankan pada Ahad.
Wang tunai dan pelbagai barangan lain dirampas dalam 12 serbuan yang dijalankan pada Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menyerbu 12 premis yang dijadikan lokasi bagi menjalankan kegiatan judi dalam talian (online) dan menahan 19 individu termasuk tujuh wanita di sekitar Butterworth dan Mak Mandin, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu oleh sepasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"19 individu itu terdiri daripada mereka yang menjalankan judi dalam talian, selain empat daripada mereka adalah pelanggan. Kita menyerbu premis perniagaan yang disewa antaranya kedai telefon dan kedai kopi.

"Dalam serbuan itu, kita merampas pelbagai barangan antaranya 14 unit telefon bimbit, lima alat pencetak, 79 kertas bercetak angka, kalkulator, kerusi dan meja serta sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dijadikan tempat menjalankan kegiatan judi atas talian," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Noorzainy berkata, polis juga merampas wang tunai berjumlah RM13,581 dalam kesemua serbuan itu.

Mereka yang menjalankan judi atas talian menyewa premis menjual telefon atau kedai kopi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Mereka yang menjalankan judi atas talian menyewa premis menjual telefon atau kedai kopi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita juga mendapat bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemotongan bekalan elektrik di premis yang diserbu.

Artikel Berkaitan:

"Semua yang ditahan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953" katanya.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, mereka yang terlibat sengaja menyewa premis seperti ini untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Siasatan mendapati, ada di antara premis ini pernah diserbu dua tahun lalu kerana kesalahan sama. Selain premis perniagaan, kita juga membuat tangkapan di kawasan lapang dan di dalam kereta.

"Kita mendapati, ada penganjur judi dalam talian ini menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di kawasan lapang atau pun dalam kenderaan mereka. Ia bagi memastikan mereka senang bergerak sekiranya diserbu pihak polis," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!