Pasangan suami isteri cari ibu kandung anak angkat

Wan Norfazilah menunjukkan dokumen surat beranak dan bil hospital anak angkatnya kepada Sinar Harian di Maran pada Selasa.
Wan Norfazilah menunjukkan dokumen surat beranak dan bil hospital anak angkatnya kepada Sinar Harian di Maran pada Selasa.
A
A
A

MARAN - Sepasang suami isteri dari Felda Jengka 10 di sini sedang mencari ibu kandung kepada anak angkatnya untuk menyelesaikan masalah dokumen pengenalan kanak-kanak terbabit.

Muhammad Mustakim Awang, 31, dan isterinya, Wan Norfazilah Wan Ahmad, 28, sebelum ini mengambil anak angkat, Nor Afifah Solehah yang kini berusia setahun enam bulan daripada seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Hafizatul Zannah di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini pada 3 Ogos 2019.

Wan Norfazilah berkata, kanak-kanak berkenaan yang lahir pada 2 Ogos 2019 diambil selepas ibu kandungnya tidak mampu membayar bil hospital berjumlah hampir RM4,000.

"Wanita itu dalam lingkungan umur 25 tahun pernah bekerja di rumah kongsi Felda Kota Gelanggi 1 sebagai tukang masak.

"Surat beranak anak ini sempat diuruskan oleh kakak saya bersama wanita berkenaan. Cuma selepas itu, kami langsung tidak berjumpa dengan wanita tersebut hingga kini," katanya pada Sinar Harian, pada Selasa.

Wan Norfazilah menjelaskan, ibu kandung kanak-kanak itu sebelum itu sudah menyatakan kesediaan untuk menyerahkan anaknya kepada mana-mana keluarga yang mahu mengambil sebagai anak angkat.

"Saya masih ingat pesanan terakhirnya supaya menjaga anak ini dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Tambah beliau, wanita berkenaan diperlukan untuk membantu urusan mereka bagi proses pengangkatan mengambil kanak-kanak tersebut sebagai anak angkat secara sah.

Artikel Berkaitan:

"Sesiapa yang mengenali ibu kandung anak ini, hubungi saya di talian 017-9551238 dengan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!