Amalan sedekah Tokoh Ibu Solehah Kelantan 2005 diteruskan

Zainab meninggalkan lapan orang anak, tujuh menantu, 43 cucu dan 27 orang cicit.
Zainab meninggalkan lapan orang anak, tujuh menantu, 43 cucu dan 27 orang cicit.
A
A
A

KOTA BHARU – Amalan bersedekah yang dilakukan bekas Tokoh Ibu Solehah Negeri Kelantan 2005 khususnya sepanjang Ramadan akan diteruskan oleh anak-anaknya dalam menyantuni golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Zainab Isa tidak sempat menyambut ketibaan bulan puasa tahun ini setelah Allahyarhamah kembali ke rahmatullah pada 8 April lalu di sebuah hospital swasta di sini.

Sebelum ini setiap kali tibanya Ramadan, Allahyarhamah Zainab merupakan antara individu paling sibuk dalam keluarganya menyediakan pek kurma untuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa.

Menurut anak ketiga arwah, Profesor Madya Dr Mohamed Saat Ismail, keadaan kesihatan ibunya mulai merosot sejak dua bulan lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut Isnin lalu selama tiga hari sebelum menghembus nafas akhir di sebabkan kegagalan jantung.

Zainab (kanan) bersama suami, arwah Ismail Mat Saat, bekas penggawa Daerah Limbat pada era 1940-an dan 1950-an.
Zainab (kanan) bersama suami, arwah Ismail Mat Saat, bekas penggawa Daerah Limbat pada era 1940-an dan 1950-an.

Allahyarhamah Zainab meninggalkan lapan orang anak, tujuh menantu, 43 cucu dan 27 orang cicit.

Dalam pada itu, mengulas mengenai amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan, anak kelima beliau, Profesor Madya Mohamad Saidy Ismail berkata, ibunya sentiasa berpesan supaya anak-anaknya sentiasa memberi hadiah kepada golongan fakir dan miskin, termasuklah kepada saudara-mara dan jiran-jiran.

"Umi akan hubungi kami untuk membantunya mengedar 100 hingga 200 pek kurma kepada penerima yang ibu sendiri senaraikan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ibu juga minta kami bantu mengirimkan sumbangan derma untuk program iftar umat Islam yang tinggal di negara minoriti umat Islam dan negara yang sedang bergolak seperti Palestin dan Syria melalui NGO-NGO seperti MyCare.

"Walaupun tahun ini umi tidak sempat menyambut Ramadan, tetapi kami akan teruskan untuk kelangsungan amalan umi, semoga pahala untuk umi akan berterusan.” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Umi berjiwa cekal, suka layan, jamu tetamu

Mohamad Saidy berkata, jiwa cekal uminya itu dibawa sehingga ke akhir usia kerana biarpun dalam keadaan uzur beliau sering kali meminta kami (anak-anak) membawanya untuk bersolat tarawih di Masjid Muhammadi Kota Bharu walaupun dengan kerusi roda.

Katanya, sesukar mana sekalipun, dia dan adik-beradik lain akan memenuhi permintaan ibunya dalam memastikan umi dapat menunaikan solat terawih dan solat Hari Raya di masjid berkenaan.

"Umi di lahirkan di Kampung Kubang Pasu, Kota Bharu dan sering ke masjid tersebut sejak kecil. Walaupun kini rumah kami di Pasir Tumboh, tapi kami tetap buat jadual bergilir bawa umi ke Masjid Muhammadi terutamanya pada bulan puasa.

"Walaupun tidak mampu berdiri lama dan pergerakannya agar sukar, tapi umi tetap juga mahu ke masjid. Bila sampai di masjid, hilang segala kepayahan, nampak seri di wajahnya selepas setiap kali selesai solat terawih," katanya.

Selain itu, Mohamad Saidy berkata pesanan yang sering arwah titipkan kepada anak dan menantu ialah mengenai melayan tetamu dengan sebaiknya seperti mana sunnah Rasulullah SAW.

Katanya, umi berpesan agar rai dan jamu tetamu dengan cara terbaik walaupun dengan lauk sardin atau nasi dengan telur.

"Pesanan dan amalan beliau akan tetap menjadi inspirasi dan iktibar kepada kami. Semoga ia juga memberi contoh yang baik kepada semua yang mengenali arwah sepanjang hidupnya.

"Sesungguhnya, umi telah membawa tugas sebagai jururawat yang menyantuni pesakit dan masyarakat sehingga nafas terakhir beliau. Semoga Allah menerima amalnya," katanya.

Zainab, 85 tahun merupakan pesara jururawat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan klinik terahir beliau bertugas ialah Klinik Ibu dan Anak Kota Bharu.

Beliau mula bertugas sebagai Penolong Jururawat pada tahun 1954 di Hospital Besar Kota Bharu di bawah seliaan seorang matron Inggeris iaitu Matron Diss.

Mengulas mengenai ketabahan ibunya dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat, Mohamad Saidy memberitahu, arwah ibunya menyertai misi perubatan sebanyak dua kali termasuk Misi Perubatan Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan ke Mekah pada 1970 yang ketika itu menggunakan kapal laut.

Bukan mudah, namun dengan ketabahan dan kekuatan jiwa, Zainab meredah lautan dalam perjalanan 14 hari pergi dan 15 hari balik dari Mekah bagi memastikan beliau dapat merebut peluang untuk berbakti kepada jemaah haji Malaysia di sana.

Beliau berkhidmat selama enam bulan di Mekah, berjauhan dari suami dan lapan oran anak termasuk dua yang ketika itu masih masih berusia dua serta lima tahun.

Zainab juga adalah anggota First Medical Team yang dibentuk saban tahun untuk misi membantu mangsa banjir oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan tatkala musim banjir pada era tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an.

Zainab bersara daripada KKM pada tahun 1986, pada usia 49 kerana ingin menjaga suaminya, Ismail Mat Saat yang sakit.

Ismail merupakan seorang penggawa Daerah Limbat, Kota Bharu pada era 1940-an dan 1950-an, namun setelah pemergian suaminya pada tahun 1989 dan kerana khidmat beliau diperlukan, Zainab kembali bertugas di Klinik Obstetriks dan Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 1991 hingga 1994.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!