Artikel salahkan mangsa gangguan seksual ditarik balik
SHAH ALAM - Artikel diterbitkan di portal web pendidikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2016 yang didakwa mengandungi saranan yang salah bagaimana menghindari gangguan seksual di tempat kerja ditarik balik setelah dikritik hebat.
Carian artikel bertajuk 'Kesan emosi terhadap mangsa gangguan seksual' memaparkan mesej ralat 'Tidak Dijumpai' di portal MyHealth kementerian, pada petang Selasa.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang juga bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat sebelum itu dalam ciapan di Twitter berkata, beliau telah diberitahu mengenai artikel yang kandungannya disifatkan menyalahkan mangsa.
Beliau turut menggesa agar artikel berkenaan ditarik semula.
Tangkap layar artikel berkenaan yang dikongsikan menyebut beberapa punca berlaku gangguan seksual; antaranya gaya berpakaian tidak senonoh dan tidak sesuai juga mendatangkan bahaya.
Menurut artikel itu, untuk menghindarinya, adalah lebih baik berpakaian dengan etika berpakaian yang wajar dan sesuai dengan keadaan.
Perkara itu turut mendapat perhatian Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh HSS yang menyifatkan artikel itu sebagai tidak masuk akal.
"Menyalahkan semua wanita atas gangguan seksual, bagaimana artikel diluluskan sejak awal.
"Kementerian Kesihatan harus menghapusnya secepat mungkin,"katanya dalam ciapan balas di Twitter Hannah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!