Pulau Pinang desak percepat suntikan vaksin 'frontliner' ekonomi
GEORGETOWN - Pulau Pinang sekali lagi mendesak kerajaan Pusat untuk memberi keutamaan selain mempercepatkan proses suntikan vaksin terhadap barisan hadapan ekonomi di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, desakan itu adalah kerana 10 daripada 12 kluster di Pulau Pinang merupakan dari sektor industri manakala satu masing-masing dari Depot Tahanan Imigresen dan sektor pendidikan.
Menurutnya, Kerajaan Pulau Pinang telah beberapa kali membangkitkan isu tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dengan kerajaan Pusat namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.
Kon Yeow berkata, pihaknya membuat desakan itu selepas kerajaan Pusat berjanji bahawa barisan hadapan ekonomi akan dianggap sebagai kumpulan keutamaan di bawah tahap dua dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
"Sudah beberapa kali kita meminta supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19. Bagaimanapun, kita masih belum terima sebarang maklum balas.
"Permintaan ini dibuat berdasarkan situasi di Pulau Pinang yang mana pekerja industri ketika ini adalah penyumbang kepada kes positif harian yang tinggi dengan 10 kluster sektor industri masih aktif sehingga kini," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Selasa.
Beliau berkata, keadaan jangkitan pandemik Covid-19 di Pulau Pinang dilaporkan terkawal selepas purata harian kes hanya mencatatkan 120 hingga 150 kes.
"Kes harian juga kini dilaporkan mencatatkan hanya dua digit namun belum kita memperoleh jumlah sebenar dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
"Walaupun situasi terkawal, namun kerajaan negeri masih menantikan jawapan dari kerajaan Pusat berhubung permintaan tersebut, malah dalam mesyuarat, kita sentiasa memberi penekanan untuk melihat usaha-usaha yang boleh diambil supaya kluster kilang khususnya tidak mencatatkan lebih banyak kes positif," katanya.
Ujarnya, walaupun majoriti pekerja kilang dan industri terdiri daripada warga asing, namun pemberian vaksin tidak boleh memisahkan antara mereka dengan rakyat tempatan.
"Jumlah pekerja asing dalam sektor industri amat besar selain itu mereka juga merupakan golongan berisiko tinggi memandangkan terdapat 10 daripada 12 kluster aktif adalah kluster kilang ketika ini," katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, seramai 105,066 atau 70 peratus daripada kira-kira 140,000 pekerja asing di negeri ini sudah menjalani saringan Covid-19 menerusi ujian massa yang diwajibkan kepada kumpulan tersebut.
Katanya, daripada jumlah itu, 4,352 atau 4.14 peratus daripada mereka didapati positif Covid-19.
"Oleh itu, majikan digesa supaya menjalankan ujian saringan massa ke atas 30 peratus baki pekerja asing yang belum menjalani ujian saringan. Sepatutnya ia sudah selesai namun masih ada majikan yang belum melaksanakannya.
"Sementara itu, berhubung pemberian suntikan vaksin pula, seramai 29,334 individu barisan hadapan di negeri ini sudah melengkapkan dua dos manakala 36,982 orang sudah menerima suntikan pertama masing-masing setakat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!