Veteran tentera Israel nekad bakar diri
TEL AVIV - Seorang veteran tentera Israel yang berasa terhina kerana kecewa dengan layanan buruk Kementerian Pertahanan nekad membakar dirinya.
Individu yang didiagnos mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) melakukan tindakan itu di luar pejabat Kementerian Hal Ehwal Tentera yang menangani urusan pemulihan anggota cedera.
Kementerian itu memaklumkan mangsa dikenali sebagai Itzik Saidian, 26, tiba di pejabat Jabatan Pemulihan di Petah Tikva pada tengah hari Isnin dan turut membawa sebotol cecair mudah terbakar sebelum menuang ke atas tubuhnya dan membakar dirinya.
“Pengawal di premis itu cuba memberikan bantuan kecemasan malah turut menghubungi perkhidmatan penyelamat untuk bantuan perubatan, Magen David Adom. Seluruh tubuhnya disahkan melecur teruk dan kini berada dalam keadaan kritikal,” ujar kementerian itu lagi.
Sementara itu, Persatuan Veteran Tentera Israel memaklumkan Saidian disahkan mengalami 25 peratus PTSD selepas terlibat Operasi Perlindungan Sempadan di Genting Gaza pada 2014, namun dia meminta keputusan itu dinaikkan kepada 50 peratus.
Kementerian terbabit bagaimanapun menolak permintaannya dan memberi alasan PTSD dialaminya kononnya disebabkan oleh trauma ketika kanak-kanak dan bukan disebabkan oleh perkhidmatannya dalam tentera.
Sebelum ini, Saidian pernah terlibat wawancara bersama stesen TV tempatan, Channel 12 dan berkongsi pengalamannya terlibat operasi di kawasan kejiranan Shuja’iyya yang menyaksikan pertempuran dengan sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam.
Ketika itu, dia turut menyuarakan kesukaran untuk mendapatkan pengesahan daripada kementerian itu tentang penyakit PTSD dialaminya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!