MyCAC: Enam pendekatan kerajaan terhadap isu perubahan iklim

Tuan Ibrahim (kiri) bersama Muhyiddin ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) pada Selasa.
Tuan Ibrahim (kiri) bersama Muhyiddin ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan melaksanakan perdagangan karbon secara teliti supaya aktiviti perdagangan karbon tidak menjejaskan komitmen pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ia adalah antara enam pendekatan yang digariskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) pada Selasa untuk dilaksanakan kerajaan terhadap isu perubahan iklim.

"Pendekatan lain ialah pembangunan agenda pelan pemulihan hijau seperti green new deal agar Malaysia menjadi hab dalam bidang ekonomi, perkhidmatan dan teknologi hijau, dan pemupukan gaya hidup hijau di semua lapisan masyarakat melalui konsep “planetary health” ke arah pembangunan mampan yang holistik.

"Pendekatan lain adalah pengukuhan tadbir urus perubahan iklim negara melalui penglibatan semua pihak berkepentingan dan pelaksanaan pelbagai program untuk memacu agenda perubahan iklim dengan menggerakkan sumber tenaga kerja dan peruntukan kewangan," katanya.

Selain itu adalah melibatkan kerjasama pihak berkepentingan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memenuhi komitmen pelaporan negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan pada Selasa.

MyCAC adalah platform tertinggi untuk menetapkan hala tuju, membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau dan pertumbuhan rendah karbon di semua peringkat khususnya Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Tuan Ibrahim berkata MyCAC akan mengadakan mesyuarat dua kali setahun bagi membincangkan isu perubahan iklim dan agenda pembangunan hijau.

Beliau berkata MyCAC juga bersetuju melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Artikel Berkaitan:

Melalui pelan itu, ia dijangka mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 165 juta tan karbon dioksida (CO2), menjimatkan perbelanjaan bahan api sebanyak RM150 billion dalam tempoh 10 tahun, memacu anjakan ke arah peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dan pengangkutan rendah karbon, katanya.

Selain itu, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara juga akan dilaksanakan sebagai asas panduan dan hala tuju Bandar Rendah Karbon di peringkat pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.

"Garis panduan pasaran karbon dan dasar penentuan harga karbon juga akan dibangunkan bagi menyokong hasrat mana-mana pihak yang akan terlibat dalam pasaran karbon," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!