Maybank Singapura agih pek makanan sempena Ramadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Perbankan Islam Maybank Singapura bekerjasama dengan Makanan Percuma untuk Semua (FFFA) menyumbang pek Ramadan terdiri daripada barang makanan dan baucar kepada 150 pekerja Malaysia berpendapatan rendah yang tinggal di Singapura.

"Di bawah misi korporat kami 'Humanising Financial Services', kami berharap sumbangan zakat ini dapat membantu FFFA dalam usaha mereka membantu penerima bantuan, terutama ketika sempadan ditutup," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Singapura Dr John Lee dalam satu kenyataan di sini.

Lee berkata, kerjasama itu dimulakan tahun lalu semasa Circuit Breaker ketika Maybank dan FFFA membantu pekerja Malaysia yang terkandas dan terjejas oleh pandemik Covid-19 dengan mengagihkan makanan dan bantuan kewangan.

Regional Ramadan Relief (RRR) ialah program tanggungjawab korporat utama Perbankan Islam Kumpulan Maybank menggunakan peruntukan zakat bagi mengagihkan bekalan makanan asas kepada keluarga kurang berkemampuan sempena Ramadan.

Maybank Singapura telah melancarkan program RRR sejak 2017 dengan mengedarkan baucar makanan kepada lebih 1,000 keluarga di Singapura.

FFFA sudah membantu mereka yang kurang bernasib baik di Singapura dan di seluruh dunia dengan menyajikan lebih 500,000 makanan dan merintis inisiatif seperti pek makanan halal bermasak.

Setiap bungkusan Ramadan mengandungi baucar runcit bernilai S$60 serta barang makanan seperti kurma, minuman 3-dalam-1 dan pek makanan.

Sejak 2013, program RRR Kumpulan Maybank memperuntukkan hampir S$4.5 juta untuk memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 keluarga, termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim, nelayan, petani dan golongan kurang bernasib baik di lebih 10 negara.

Artikel Berkaitan:

Program kumpulan Maybank telah memasuki tahun kesembilan dan memberi manfaat kepada golongan kurang mampu di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, Dubai dan komuniti Rohingya di Myanmar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!