Duo Petronas Yamaha SRT harap tuah bumi Portugal
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dan Valentino Rossi berharap dapat meningkatkan prestasi mereka dan mengumpul mata berharga pada Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao hujung minggu ini.
MotoGP 2021 yang bersambung semula selepas berehat seminggu diharap memberikan peluang kepada Morbidelli dan Rossi untuk meningkatkan prestasi mereka selepas dua perlumbaan pertama - GP Qatar dan GP Doha di Litar Antarabangsa Losail, Qatar masing-masing pada 28 Mac dan 4 April lepas.
Dalam perlumbaan di Qatar, Rossi menduduki tempat ke-12 sementara Morbidelli di kedudukan ke-18. Di Doha, Morbidelli di tempat ke-12 dan Rossi di kedudukan ke-16.
Morbidelli yang mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan sulung MotoGP di Portimao tahun lepas, bermula di petak hadapan selepas menduduki tempat kedua dalam ujian kelayakan dan menamatkan perlumbaan dengan keputusan podium di tempat ketiga, menyasarkan pencapaian yang lebih baik kali ini.
“Selepas menaiki podium di Portugal tahun lepas, saya berharap kami akan mendapat kembali semula rentak untuk mendapatkan keputusan yang baik hujung minggu ini. Namun setiap perlumbaan adalah berbeza jadi kami perlu tunggu dan lihat bagaimanakah keadaan kami sebaik sahaja kami berada di litar.
"Kami semakin meningkat di setiap perlumbaan dan kami cuba memahami apa yang berlaku terhadap keadaan jentera semasa di Qatar, diharap kami menemui beberapa peningkatan dan mampu meneruskan ke arah yang positif hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukannya hari ini.
Sementara itu, Rossi berharap permulaan pusingan MotoGP Eropah akan memberikan isyarat untuk beliau kembali bermula di petak hadapan dan melupakan masalah yang dihadapinya di Qatar.
“Litar di Portimao hebat. Ia sesuatu yang berlainan daripada yang lain tetapi ia sangat sukar. Ia adalah sebuah litar yang memerlukan banyak masa untuk dipelajari dan setiap kali anda berlumba anda boleh meningkatkan sesuatu.
"Kami menemukan beberapa pelarasan baharu pada jentera semasa sesi memanaskan badan pagi Ahad di GP Doha, yang bermakna saya mampu mengekalkan rentak yang baik tetapi kami dihampakan oleh kedudukan permulaan yang buruk. Kami berharap kami akan menjadi lebih kuat dan berdaya saing pada GP ketiga ini, juga di Eropah secara keseluruhan," kata juara dunia sembilan kali itu.
Biarpun pelumba Itali itu tidak mendapat keputusan yang baik di Portimao tahun lepas, dia mampu bangkit dan memperoleh mata berharga di kedudukan ke-12 -- sesuatu yang akan cuba ditingkatkan hujung minggu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!