Risiko bazar jadi ‘bom jangka’ Covid-19

Bazar Ramadan dibimbangi boleh menjadi tempat berisiko penyebaran Covid-19 jika peniaga dan pengguna mengambil mudah amalan SOP dan penjarakkan sosial.
Bazar Ramadan dibimbangi boleh menjadi tempat berisiko penyebaran Covid-19 jika peniaga dan pengguna mengambil mudah amalan SOP dan penjarakkan sosial.
A
A
A

HARI ini masuk hari kedua umat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga dan seperti tahun sebelumnya bulan Ramadan kali ini juga disambut pada saat dunia masih mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Namun berita baiknya, pada tahun ini kerajaan sudah membenarkan penganjuran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri selain kebenaran untuk solat tarawih di masjid. Sudah pasti ia sedikit sebanyak mengembalikan seri Ramadan tahun ini.

Namun, semua kelonggaran yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu disertakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan kes Covid-19 dalam komuniti.

Umum tahu, negara masih merekodkan kes harian Covid-19 yang agak tinggi. Pada 29 Mac lalu, sejumlah 941 kes harian direkodkan, terendah sejak Januari, namun rekod tiga digit itu hanya bertahan sehari sebelum kembali kepada empat angka sehinggalah ke hari ini.

Namun, di sebalik keterujaan mengunjungi bazar Ramadan bagi mendapatkan pelbagai juadah enak berbuka puasa, timbul persoalan adakah kemungkinan ia bakal menjadi punca ledakan kluster baharu Covid-19?

Walaupun kerajaan menekankan mengenai SOP dan penjarakkan sosial, namun adakah ia boleh dipatuhi orang ramai memandangkan bazar Ramadan seperti diketahui lokasi yang biasanya sesak dan padat pengunjung.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat, tidak menjadi masalah untuk bazar Ramadan beroperasi asalkan SOP dipatuhi sepenuhnya ditambah dengan pemantauan berkesan.

Kata Malina, berdasarkan perjalanan pasar tani dan pasar malam yang sedia ada melalui pematuhan SOP serta pemantauan daripada pihak penganjur, tidak menjadi masalah untuk bazar Ramadan memulakan operasi.

Artikel Berkaitan:

“Potensi jangkitan tidak hanya datang dari bazar Ramadan malah ia boleh datang daripada aktiviti sosial lain dan sekiranya masyarakat gagal mematuhi SOP maka akan berlaku penularan jangkitan tanpa mengira lokasi,” kata Malina kepada Sinar Harian.

Malina turut menyarankan agar saiz bazar Ramadan bertepatan dengan jumlah kakitangan pihak penganjur yang bertanggungjawab memantau perjalanan SOP terhadap para pengunjung bazar Ramadan.

Tambahnya, salah satu peraturan yang turut wajar diperkenalkan termasuklah pengunjung bazar Ramadan perlu dihadkan kepada umur dewasa sahaja yang kurang dari 60 tahun.

“Warga emas dan kanak-kanak yang kurang 12 tahun dinasihatkan untuk tidak berkunjung ke bazar Ramadan berikutan lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti,” katanya lagi.Tegas Malina, pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh bergantung kepada pola tingkah laku untuk menurunkan kes Covid-19 sebaliknya masyarakat perlu digalakkan mendaftar dan mendapatkan vaksin.

“Dalam konteks kita pada hari ini selagi belum divaksin apa sahaja berkemungkinan untuk berlaku dan pematuhan terhadap SOP adalah perkara yang perlu menjadi keutamaan setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Mutakhir, dua hari sebelum menyambut Ramadan, Kelantan mengambil langkah tegas dengan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu. Ia bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Bagi Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Dr Shamsul Azahari Zainal Badari, keputusan negeri Kelantan membatalkan bazar Ramadan dan Aidilfitri adalah berasaskan kepada peningkatan kes di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Kata beliau, bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu dan peningkatan kes Covid-19, pembatalannya adalah wajar. Namun keputusan yang dibuat mungkin akan memberi kesan kepada penganjur dan peniaga yang telah membeli keperluan dan peralatan untuk berniaga di bazar Ramadan pada tahun ini.

“Bagaimanapun peralatan yang telah dibeli seperti khemah, kerusi dan meja boleh digunakan untuk masa akan datang, manakala bahan mentah perlu dimasak dan dijual secara dalam talian atau dari rumah,” katanya.

Tambah Shamsul Azahari, walaupun keuntungan tidak sama dengan berniaga di bazar, sekurang-kurangnya ia dapat membantu peniaga yang terkesan dengan pengumuman pembatalan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!