Harga ayam cecah RM9.50 sekilo

Samsul Bhari ( kanan) menunjukkan ayam yang dijual di sebuah pasar di Tampoi.
Samsul Bhari ( kanan) menunjukkan ayam yang dijual di sebuah pasar di Tampoi.
A
A
A

SHAH ALAM - Harga ayam segar di beberapa negeri menunjukkan kenaikan antara 50 sen hingga RM1 menjelang Ramadan.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Awam Sungai Besar, Selangor mendapati harga ayam naik kepada RM9 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sejak sebulan lalu.

Seorang peniaga, Farizal Rahim, 40, berkata, kenaikan itu dipercayai berlaku berikutan pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, peniaga terpaksa berdepan kenaikan harga ayam daripada pihak pemborong yang memperoleh harga ayam lebih tinggi daripada pihak pembekal dari ladang ayam setiap kali menjelang musim perayaan.

“Kami sudah menjangkakan keadaan ini berlaku sepanjang musim perayaan dan mereka (pembekal) terpaksa menampung kos sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga,” ujarnya.

Kata Farizal, peniaga terpaksa menaikkan harga ayam kepada pelanggan disebabkan harga jualan runcit berasaskan harga ayam di ladang yang ditawarkan pemborong.Katanya, ayam proses yang diperoleh daripada pemborong naik pada kadar RM1 iaitu dijual pada harga RM8 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini.

Farizal (kanan) mengakui harga ayam naik RM9 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum ini berikutan pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Farizal (kanan) mengakui harga ayam naik RM9 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum ini berikutan pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

“Jika harga yang ditawarkan pemborong tinggi, kami terpaksa jual tinggi dan jika harga ditawarkan rendah sudah pasti peniaga akan jual pada harga murah,” menurutnya.

Tambah peniaga itu, harga ayam RM9 sekilogram dianggap biasa menjelang musim perayaan dan pernah mencecah RM9.50 sekilogram.

Di JOHOR, peniaga ayam di Kempas, Rozaide Saori, 44, berkata, harga ayam di situ dijual pada harga RM8.50 sekilogram (kg) berbanding antara RM7.50 hingga RM7.90 pada minggu lalu.

“Selalunya pertengahan puasa harga ayam segar akan turun sedikit namun harga ayam akan naik semula menjelang raya.

“Ini kerana semua harga berdasarkan harga daripada pembekal.

“Pembekal naikkan harga setiap kali puasa, jadi peruncit terpaksa naikkan juga selain alasan bekalan ayam kurang,” katanya.

Sementara itu peniaga ayam segar di Tampoi, Samsul Bahri Anuar, 42, berkata, kenaikan harga ayam dikesan sejak seminggu lalu.

“Harga ayam segar mengalami kenaikan dan dijual peruncit RM8.50 sekilogram (kg) berbanding hanya RM7.50 hingga RM7.80 minggu lalu.

“Kami jual runcit berasaskan harga ayam di ladang ditawarkan pemborong,” katanya.

Di PERAK, tinjauan di sekitar Ipoh mendapati harga ayam di kedai runcit dijual sekitar RM7 hingga RM8, manakala di pasar raya dijual pada harga RM6.69 sehingga RM7.

Semakan di laman rasmi Price Catcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati ayam standard yang dijual di sekitar Ipoh bermula pada harga RM5.99 hingga RM9.

Di NEGERI SEMBILAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu mengesan berlaku kenaikan harga ayam sebanyak RM1 pada Selasa.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Azman berkata, kenaikan tersebut dikesan melalui hasil pemantauan harian yang dilakukan oleh pihaknya di semua pasar seluruh negeri itu.

“Melalui pemantauan harian yang dilakukan, kita dapati berlaku kenaikan harga ayam sebanyak RM1 di Pasar Besar Seremban dan Kuala Pilah.

“Peniaga didapati menjual ayam dengan harga RM9 ke RM9.50 pada Selasa, menyebabkan berlakunya kenaikan RM1,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan daripada orang ramai.

“Walaupun tiada laporan yang diterima, namun kita akan terus memantau dari masa ke masa bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara mendadak sempena Ramadan ini,” katanya.

INFO [Harga Ayam Terkini]

Negeri Sembilan- RM9.50

Kedah -RM8.50

Selangor- RM9

Pahang- RM9.50

Perak -RM9

Kelantan -RM7.50

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!