Harga dedak naik 18 peratus

Faktor kenaikan harga dedak mendorong harga ayam hidup meningkat.
Faktor kenaikan harga dedak mendorong harga ayam hidup meningkat.
A
A
A

ALOR SETAR- Kenaikan harga ayam yang dikesan berlaku sejak dua minggu lalu didakwa berpunca daripada kenaikan harga dedak untuk makanan haiwan tersebut.

Presiden Ayam Bismi Sdn Bhd, Datuk Jaffri Ahmad berkata, dalam tempoh itu dikesan berlaku tiga kali kenaikan dengan setiap kenaikan sebanyak 30 sen.

Beliau berkata, terkini harga ayam proses mencecah antara RM8 hingga RM8.50 setiap kilogram di Kedah.

“Turun naik harga ayam ini sering berlaku dalam pasaran, cuma kenaikan kali ini bukan disebabkan umat Islam menyambut Ramadan, sebaliknya disebabkan harga dedak yang meningkat sehingga 18 peratus sejak Oktober tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, kos makanan ayam yang tinggi menyebabkan penternak terpaksa menaikkan harga ayam hidup untuk mengelakkan kerugian.

“Sebelum ini harga bagi satu beg dedak seberat 50 kilogram adalah sebanyak RM85, tetapi sekarang ia sudah mencecah harga RM102.

“Secara purata kos makanan bagi seekor ayam meningkat sebanyak RM1.20.

“Apabila harga daripada penternak meningkat, pemborong dan penjual pun akan naikkan harga,” katanya yang menjual ayam proses pada harga RM7.58 sekilogram di premisnya.

Jaffri menambah, sebagai usahawan yang menternak dan memasarkan sendiri ayam proses, beliau berharap kerajaan dapat mencari suatu mekanisme untuk menstabilkan harga dedak.“Harga ayam ini bukan suka-suka dinaikkan oleh penternak, pemborong atau penjual, tetapi ada sebab-sebabnya yang tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Seperti sekarang, bahan mentah untuk penghasilan dedak ini diimport dari luar negara. Dalam keadaan pandemik sekarang, tidak dinafikan ada beberapa masalah yang mendorong kenaikan harga dedak itu sendiri.

“Mungkin kerajaan boleh cari alternatif lain agar dedak boleh dihasilkan dalam negara supaya kita tidak lagi bergantung kepada import,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!