Orang tengah tentukan harga ayam kepada peniaga
IPOH - Mainan harga yang dibuat oleh orang tengah atau integrator juga menjadi punca peningkatan harga ayam.
Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Perak, Nor Azhar Mohamed berkata, pihak integrator berkuasa penuh terhadap harga ayam di pasaran kerana di ladang peningkatan tidak terlalu ketara.
“Sebenarnya terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan kenaikan ini, antaranya penternak terikat dengan harga kontrak dengan pihak integrator.
“Pihak integrator yang menguasai pasaran dan menentukan harga ayam yang dibekalkan kepada peniaga,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengakui penternak berdepan tekanan walaupun harga naik tetapi peningkatan harga makanan ayam juga menyebabkan mereka berdepan kesukaran.
Dalam pada itu, penternak yang juga Pengarah Syarikat MA Technology System Sdn Bhd, Mohamad Adam Shah Mohamed Hussain berkata, harga bagi sekilogram ayam di ladang naik sekitar 50 sen kepada RM4.50.
Menurutnya, kenaikan tersebut turut dipengaruhi harga makanan ayam yang meningkat sehingga RM98.50 bagi 50 kilogram (kg) berbanding RM81 sebelum ini bagi dedak pemula, manakala untuk dedak penggemuk pula daripada RM79 menjadi RM96.50 bagi 50kg.“Memang kita akui harga di ladang sekarang naik sehingga 50 sen dan ini merupakan harga kontrak di peringkat ladang. Peningkatan ini berlaku pada tahun ini.
“Sebagai penternak, kita mengikut kontrak yang ditetapkan malah kenaikan harga jagung di peringkat global turut menyebabkan harga makanan ayam ini naik secara mendadak,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!