Harga daging, sayur di Kelantan turut meningkat
KOTA BHARU - Kenaikan harga barangan keperluan makanan di Kelantan pada hari pertama Ramadan bukan setakat membabitkan harga jualan ayam mentah malahan turut membabitkan bahan utama lain iaitu daging dan beberapa jenis sayur.
Kenaikan kesemua barangan itu berlaku secara purata minimum antara 70 sen sehingga RM5 sekilogram.
Tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini mendapati harga ayam mentah dijual antara RM6.99 sehingga RM7 sekilogram (kg) berbanding RM6.20 minggu lalu manakala ayam bersih sekitar RM7.30 sehingga RM7.50 sekilogram berbanding RM6.90 sebelum ini.
Harga daging lembu tempatan pula dijual RM34 sekilogram berbanding RM29 sebelum ini manakala di gerai tepi jalan di Pintu Geng, di sini, dijual pada harga RM32 berbanding RM27 sekilogram minggu lalu.Harga sayur juga meningkat, antaranya kubis yang dijual pada harga RM4 hingga RM5 sekilogram berbanding RM3 hingga RM4 dan sawi RM18 berbanding RM13 sekilogram sebelum ini.
Seorang peniaga ayam di Pasir Tumbuh, Ahmad Mustaqiim Che Mohd Tarmizi, 30, berkata, harga pengeluar ayam di ladang sudah tiga kali naik dengan kadar 30 sen setiap kenaikan menjelang Ramadan, menyebabkan jualan borong dan runcit ayam turut meningkat.
“Permintaan yang bertambah secara mendadak menghampiri puasa dan hari pertama puasa hari ini menyebabkan kenaikan harga ayam.
“Peniaga bukan sengaja menaikkan harga tetapi bergantung kepada harga daripada pengeluar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri memberi amaran kepada semua peniaga supaya tidak menjual barangan dengan harga yang melampau atau mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini.
“Setakat ini, KPDNHEP belum menerima aduan rasmi namun anggota penguat kuasa sentiasa menjalankan pemeriksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!