Puasa orang beriman lahirkan Muslim bertakwa

Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman
Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan berpuasa orang beriman dapat melahirkan seorang Muslim yang bertakwa.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, puasa merupakan salah satu asbab untuk menjadi orang yang bertakwa.

Menurutnya, mereka mampu untuk meninggalkan perkara seperti makan dan minum ketika berpuasa dengan sebab perintah ALLAH, yang pada asalnya perkara tersebut merupakan rutin harian kita.

“Seterusnya, puasa dapat mendatangkan satu perkara ‘murakabatullah’ yang mana kita hendak rasa betapa ALLAH itu mengawasi gerak-geri kita sepanjang bulan Ramadan dan puasa juga dapat menyempitkan laluan syaitan.

“Puasa juga dapat memperbanyakkan ketaatan kepada ALLAH dengan melakukan tadarusnya, tarawihnya, maka itu juga merupakan asbab kepada takwa,” katanya pada Wacana Al-Quran Siri ke 111 bertajuk Takwa: Mudah diucap susah dilaksana di Karangkraf pada Selasa.

Program tersebut dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail dan turut bersama Penerbit dan Komposer, Shamril Mohd Salleh, manakala qari jemputan, Ahmad Tirmizi Ali memperdengarkan surah al-baqarah ayat 183.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki turut menjelaskan bahawa maksud takwa iaitu melaksanakan segala perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan-Nya.

“Jangan sampai ALLAH melihat kamu di tempat yang dilarang dan jangan sampai ALLAH tidak melihat kamu di tempat yang disuruh.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana orang yang bertakwa itu orang yang mencegah daripada melakukan syirik kepada ALLAH serta mencegah daripada melakukan dosa besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, orang yang hendak melakukan penghijrahan dan perubahan perlu berdamping dengan orang yang soleh.

“Sebab itu, kita lihat bagaimana kaki pancing boleh memancing sebab berkawan dengan semua kaki pancing, tidak ada pergi memancing seorang diri.

“Jadi sebenarnya, peranan penting apabila hendak lakukan perubahan perlu cari dan wujudkan satu persekitaran orang-orang soleh agar kita dapat satu kekuatan, maka mudahlah untuk kita berdakwah,” katanya.

Katanya, semoga umat Islam sentiasa bermujahadah bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi cuba untuk membaiki dengan niat kerana ALLAH dalam menuju jalan takwa.

Shamril Mohd Salleh
Shamril Mohd Salleh

Sementara itu, Shamril atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze turut berkongsi perubahan beliau yang mengambil keputusan untuk berhenti melibatkan diri dalam bidang muzik.

“Sampai satu tahap saya berhenti muzik, berhenti secara terus maksudnya langsung tidak pegang muzik, tidak pegang gitar, tidak buat lagu dan sebagainya.

“Bukan saya marah kepada muzik tetapi saya tahu saya lemah, jadi saya ambil langkah, hari-hari saya pergi masjid waktu solat fardu sebab kita tahu kita lemah, kemudian saya beli buku-buku yang menceritakan perjalanan untuk berubah.

“Saya ambil keputusan, banyak benda saya kena ubah. Paling mustahak sekali kena baiki dulu segala amal ibadat yang kita tinggal, buat balik secara istiqamah dan tambah ilmu supaya kita tidak kembali kepada dulu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!