Rumah, tiga kenderaan musnah terbakar
MUAR - Seorang lelaki berputih mata apabila bukan sahaja kediaman tapi kereta dan dua buah motosikalnya hangus dalam kejadian kebakaran di Batu 18 di sini pada awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Jefri Jamal berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa memandangkan pemiliknya, Mohammad Junid Ajmain, 31, tiada di rumah semasa kejadian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.46 pagi sebelum 23 pegawai dan anggota dari BBP Muar dan BBP Pagoh dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba, kita dapati kediaman separuh kekal yang berkeluasan 80x50x15 kaki itu sedang marak terbakar. Kita bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki sumber air pam jentera.
“Kita mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengawal kebakaran dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 pagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, kediaman itu terbakar 85 peratus dan turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Waja, sebuah motosikal Honda Wave dan sebuah motosikal Suzuki yang diletakkan di pekarangan rumah.
Bagaimanapun, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!