Bot pukat tunda ditahan langgar syarat sah lesen
MERSING - Sebuah bot pukat tunda ditahan setelah didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan iaitu pada jarak sekitar 9.8 batu nautika dari Pantai Pulau Tioman di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Noraishah Hashim berkata, penahanan itu dilakukan oleh cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Johor yang ketika itu sedang melakukan rondaan rutin pemantauan vesel di perairan Johor Timur kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, setelah pemeriksaan dijalankan, pihaknya mendapati sebuah bot penangkapan ikan zon C yang mempunyai lima orang kru yang terdiri daripada dua orang tempatan dan tiga warganegara Indonesia itu menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) pada jarak sekitar 9.8 batu nautika dari Pantai Pulau Tioman.
“Bagi vesel zon C, mereka tidak dibenarkan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai. Pemeriksaan lanjut juga didapati terdapat hasil tangkapan bernilai tinggi seperti sotong, ikan barat dan ikan tenggiri.
“Vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan turut disita dan akan disiasat di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Noraishah berkata, Jabatan Perikanan Johor ingin turut mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen agar tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari.
Katanya, perbuatan melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel itu adalah menjadi kesalahan.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikompaun dan peralatan menangkap ikan akan dirampas. Kita sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang di perairan Johor bagi memastikan pengurusan sumber perikanan lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!