MB puas hati pematuhan SOP di bazar Ramadan, masjid
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan.
Amirudin berkata, SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini dipatuhi sepenuhnya oleh pihak terlibat.
"Alhamdulillah ternyata pengunjung dan peniaga mematuhi SOP yang telah digariskan oleh MKN. Berkesempatan membeli beberapa juadah untuk berbuka nanti.
"Semoga jualan peniaga meningkat sepanjang bulan Ramadan, Insya-ALLAH," katanya.
Amirudin berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Kompleks PKNS pada petang Selasa.
Menerusi kemaskini berlainan, Amirudin turut berkesempatan mengulas mengenai pelaksanaan SOP di masjid selepas beliau berkesempatan menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid As Shariff, Gombak.
Beliau berkata, jemaah dan pengurusan masjid dilihat mematuhi SOP yang digariskan bagi pelaksanaan ibadah ketika Ramadan ini.
"Semoga kita diberi kekuatan dan kesihatan bagi meningkatkan amal ibadah di bulan yang mulia ini," katanya.
Sebelum ini, Amirudin turut memaklumkan bilangan peniaga bazar Ramadan turut dikurangkan kepada 11,000 berbanding 14,000 orang pada tahun 2019.
Malah, pihak berkuasa juga diarahkan untuk memantau ketat operasi bazar Ramadan dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!