Polis pantau SOP bazar Ramadan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau bazar Ramadan di seluruh negara bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang gagal mematuhi SOP.
"Peniaga juga perlu bertanggungjawab memastikan pengunjung premis mereka sentiasa mematuhi SOP ketika urusniaga iaitu memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi memaklumkan tinjauan pada hari pertama Ramadan mendapati masih banyak kelemahan antara paling ketara adalah penjarakan fizikal.
"Kita ada pasukan pemantau di bazar Ramadan, bermula hari ni kita akan ambil tindakan terhadap kesalahan dilakukan oleh individu yang masih berdegil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!