Ular sawa dalam sangkar ikan

Anggota APM Besut mengeluarkan seekor ular sawa batik yang ditemui tersangkut pada jaring sangkar ikan di Kampung Seri Kemunting, Besut dalam kejadian pada Ahad.
Anggota APM Besut mengeluarkan seekor ular sawa batik yang ditemui tersangkut pada jaring sangkar ikan di Kampung Seri Kemunting, Besut dalam kejadian pada Ahad.
A
A
A

BESUT - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Besut menyelamatkan seekor ular sawa batik yang terperangkap pada jaring sangkar ikan dalam kejadian di Kampung Seri Kemunting, Ahad lalu.

Pembantu Pegawai (Bahagian Operasi) APM Besut, Leftenan (PA) Mohd Fazli Mat Yusof berkata, ular sawa seberat 20 kilogram (kg) sepanjang tiga meter itu ditemui tersangkut pada jaring dan tidak boleh melepaskan diri.

"Kita menerima panggilan orang awam melalui panggilan kecemasan di talian MERS sekitar jam 11 pagi.

"Seorang pegawai dan tiga anggota ke lokasi tersebut dan ular sawa berkenaan berjaya diselamatkan pada jam 11.54 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Beliau berkata, ular berkenaan dibawa ke Pejabat APM Besut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Besut.

Dalam pada itu, Mohd Fazli menasihatkan orang awam supaya lebih berwaspada dengan kehadiran haiwan berbisa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Musim cuaca panas turut mengundang kehadiran haiwan berbisa terutama ular untuk mencari makanan dan tempat berteduh.

"Sebarang maklumat mengenai kes begini boleh hubungi pasukan penyelamat melalui talian kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!