SOP di bazar Ramadan akan dipertingkat

Rumaizi (kanan) turut menyempurnakan perasmian Dewan Bankuet TT sempena majlis yang berlangsung di TIC di Ipoh pada Rabu.
Rumaizi (kanan) turut menyempurnakan perasmian Dewan Bankuet TT sempena majlis yang berlangsung di TIC di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan terus mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar-bazar Ramadan di sekitar Bandaraya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, berdasarkan penelitian secara kasar, kadar pematuhan SOP pada hari pertama di bazar Ramadan adalah 70 peratus.

Menurutnya, kawalan dari segi pematuhan SOP juga dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan.

"Berdasarkan semalam (Selasa), pengunjung patuh SOP ditetapkan seperti tidak ada kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas. Cuma yang saya nampak mungkin dari sudut beratur tetapi dari sudut lain mereka mematuhi.

"Kita akan tingkatkan lagi sebanyak 30 peratus kadar pematuhan SOP ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Program Belajar Secara Digital antara Taj International College (TIC) bersama agensi di Dewan Bankuet TT, TIC di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.

Mengenai kerjasama dengan TIC, Rumaizi berkata, ia selaras dengan rancangan MBI untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandar Pintar kerana salah satu domain di dalamnya adalah Warga Pintar yang meliputi Pendidikan Pintar.

Melalui kerjasama itu, katanya, warga MBI berpeluang melanjutkan pengajian tanpa perlu berpindah dari Ipoh melalui pembelajaran pintar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tina berkata, pembelajaran secara digital itu diperkenalkan sebagai menyahut aspirasi dan inspirasi yang telah dijayakan oleh Rumaizi untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya pintar.

"Kita tahu lokasi TIC yang strategik di dalam bandar raya Ipoh dan kita percaya bahawa Ipoh sebuah bandar yang terbaik. Kita mahu bersama-sama bangunkan Ipoh.

"Ini merupakan fasa pertama kita iaitu bekerjasama bersama agensi-agensi awam ini dan Insya-ALLAH kita bergerak ke arah kolaboratif antarabangsa," katanya.

Selain itu, Tina menjelaskan, selain memberikan bantuan pengajian tinggi melalui kaedah pendigitalan pendidikan kepada kakitangan awam, pihaknya turut menyediakan geran pendidikan kepada 200 kakitangan awam di agensi terpilih.

Katanya, ia sebagai satu motivasi dan galakan kepada setiap agensi yang dipilih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!