Mesir sita kapal kontena Ever Given, minta pampasan AS$900 juta

Kapal kargo MV Ever Given yang menghalang laluan di Terusan Suez sebelum ini. - Foto: AFP
Kapal kargo MV Ever Given yang menghalang laluan di Terusan Suez sebelum ini. - Foto: AFP
A
A
A

KAHERAH - Sebuah mahkamah Mesir memutuskan kapal kontena Ever Given disita sehingga pemiliknya membayar AS$900 juta kepada Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) sebagai ganti rugi kerana menghalang laluan penting itu selama hampir seminggu, lapor Sputnik memetik akhbar Shorouk News.

Permohonan menyita kapal itu dikemukakan SCA di mahkamah ekonomi Ismailia.

SCA menuntut kapal itu ditahan sehingga semua perbelanjaan menyelamat dan penyelenggaraan, serta kos kerugian lalu lintas sepanjang enam hari dibayar sepenuhnya.

Kapal yang berdaftar di Panama itu kini ditempatkan di bawah pengawasan mahkamah, selaras dengan Artikel 6 Undang-Undang dagangan maritim Mesir, hingga operator memenuhi tuntutan SCA, menurut laporan itu.

Pegawai mahkamah dilaporkan akan ke lokasi kapal itu berlabuh di Tasik Bitter pada Selasa untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada kru kapal.

Ketua SCA Osama Rabie memberitahu, akhbar Youm7 Mesir, kejadian Ever Given tersadai di Terusan Suez itu masih dalam siasatan dan rumusannya dijangka diumum pada Khamis.

Pihak berkuasa terusan menganggarkan jumlah kerugian perdagangan global akibat kejadian itu bernilai AS$1 bilion. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!