Angin kencang, pokok tumbang
IPOH - Hujan lebat disusuli angin kencang menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar Ipoh pada petang Rabu.
Dalam kejadian 4 petang itu, tiga kes pokok tumbang dilaporkan berlaku masing-masing di Persiaran Tasek Timur 3 Taman Ria, Dataran Tasek Timur 9 Taman Bercham Maju dan laluan lebuh raya menghala ke Ipoh berhampiran Stesen Minyak Shell.
Kejadian itu mengakibatkan beberapa laluan sesak kerana pokok yang tumbang merintangi jalan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan telah menerima beberapa siri panggilan kecemasan pokok tumbang pada jam 4.45 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dikejarkan ke lokasi bagi membantu kerja-kerja mengalih pokok.
"Anggota menggunakan peralatan khas untuk memotong dahan pokok dan mengalihkan dahan dari jalan.
"Setakat ini, tiada mangsa cedera dalam kejadian pokok tumbang terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!