Penduduk dakwa rugi RM60,000 akibat masalah air

Penduduk Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Sungai Petani terpaksa menanggung kerugian apabila masalah bekalan air kritikal sejak awal tahun ini.
Penduduk Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Sungai Petani terpaksa menanggung kerugian apabila masalah bekalan air kritikal sejak awal tahun ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penduduk Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang di sini mendakwa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM60,000 akibat tidak dapat meneruskan projek penternakan, pelupusan sampah dan pertanian.

Ia berikutan kawasan berkenaan mengalami gangguan bekalan air yang kritikal sejak Januari lalu.

Pengerusi taman perumahan berkenaan, Abd Rahman Abd Aziz berkata, kira-kira 800 penduduk membabitkan sebanyak 198 unit rumah kediaman di situ menghadapi masalah bekalan air yang turut menjejaskan beberapa projek mereka usahakan.

Menurutnya, projek penternakan lobster membabitkan lima peserta menggunakan bekalan air dengan kapasiti yang tinggi, manakala projek pelupusan sampah menggunakan mesin asher pula terpaksa beroperasi secara manual akibat gangguan bekalan air itu.

"Di sini juga ada projek tanaman mini kebun sayur yang dilaksanakan secara berkelompok, juga memberi kesan terhadap mereka apabila air tidak ada," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Abd Rahman berkata, masalah bekalan air mula dikesan sejak tahun 2019 dan beransur teruk pada tahun 2020 sebelum kritikal sejak awal tahun ini.

"Bekalan air terakhir disalurkan semalam (Selasa) pada jam 3 hingga 4 pagi dengan tekanan rendah. Hanya paip depan rumah sahaja yang ada air, lepas itu terus tak ada sehingga sekarang.

"Ramai penduduk ada anak kecil dan ada juga yang terpaksa menjaga warga emas dan pesakit terlantar. Sudah pasti memberi kesukaran kerana kanak-kanak bersekolah seperti biasa dan ibu bapa juga kena keluar bekerja," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peserta ternakan lobster, Siti Aishah Abd Rahim berkata, masalah itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan, namun tidak ada penyelesaian.

Menurutnya, penduduk mahu penjelasan punca berlakunya gangguan bekalan air itu, sedangkan mereka mempunyai tangki air yang sepatutnya boleh menampung keperluan penduduk.

"Kami nak tahu apa punca air tidak ada. Memang masalah buat kami yang menternak lobster. Saya mula dengan ternakan sebanyak 400 ekor pada awal tahun ini. Sama seperti peserta lain, sekarang lobster saya hanya tinggal kira-kira 80 ekor sahaja kerana yang lain mati mungkin disebabkan ketiadaan bekalan air bersih.

"Saya percaya peserta lain juga berdepan masalah sama," katanya.

Ismail (kiri) dan Abd Rahman menunjukkan mesin Asher yang digunakan untuk memproses sisa buangan untuk dilupuskan.
Ismail (kiri) dan Abd Rahman menunjukkan mesin Asher yang digunakan untuk memproses sisa buangan untuk dilupuskan.

Menurutnya, bekalan air dihantar menggunakan lori dua hari sekali, bagaimanapun kapasiti air yang dihantar dari rumah ke rumah tidak mencukupi untuk menampung kegunaan kolam ternakan.

Peniaga makanan, Nor Azlinda Awang berkata, penduduk sudah mulai penat untuk menunggu penghantaran bekalan kira-kira tiga kali seminggu.

"Kalau nak air bersih untuk minum dan wuduk, terpaksa beli air mineral. Baju terpaksa dicuci di kedai dobi dan saya nak berniaga yong tau fu pun susah.

"Mahu berniaga tak boleh, kena pula tambah kos lain. Keadaan ini membebankan kami jika sampai berbulan-bulan gangguan bekalan air berlaku. Tambahan lagi kes Covid-19 masih ada. Sekarang pula bulan puasa. Jangan sampai berlarutan sehingga hari raya pula," tegasnya.

Pengendali mesin pelupusan sampah, Ismail Saad pula berkata, mesin Asher yang digunakan bagi melupuskan sisa buangan terpaksa digerakkan secara manual.

"Saya kena takungkan air untuk ditambah setiap jam sepanjang proses berjalan selama 48 jam, selain pantau situasi suhu agar tidak mendatangkan risiko lain akibat ketiadaan air.

"Biasanya kami mampu memproses enam tan sampah dalam sebulan. Tapi bila tiada air, hanya dua hingga tiga tan sahaja sampah boleh dilupuskan. Sudah pasti pendapatan kami terjejas.

Bekalan air di Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Sungai Petani terganggu sejak tahun 2019 dan semakin kritikal sejak beberapa bulan lalu.
Bekalan air di Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Sungai Petani terganggu sejak tahun 2019 dan semakin kritikal sejak beberapa bulan lalu.

"Air juga banyak digunakan untuk kerja-kerja mencuci penapis serta alatan mesin lain," katanya.

Ismail berharap agar masalah bekalan air di kawasan itu dapat dipulihkan segera memandangkan situasi itu telah mengurangkan pendapatan penduduk.

"Projek ini dilaksanakan bagi menambah pendapatan tetapi kini kami menanggung kerugian pula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!