UMNO dan reformasi

No Image Caption
A
A
A

TAJUK kolum saya ini tidak lengkap tanpa satu tanda baca. Kalau dengan tanda soalan (?), inilah persoalannya: Mungkinkah UMNO perjuangkan reformasi? Kalau jawapannya ya, maka tanda seru (!) bolehlah digunakan.

Sememangnya, imej UMNO sentiasa dikaitkan dengan establishment (kuasa sedia ada), konservatif, malah ‘rasuah᾿ dan ‘dedak᾿. Bila pemimpin UMNO nak perbaiki sistem sasiah tanah air, paling radikal pun setakat ‘transformasi᾿ dan ‘modernisasi᾿.

Bukan tiada pemimpin UMNO yang melaung-laungkan slogan ‘reformasi᾿ atau ‘selamatkan negara᾿, tetapi ini cuma berlaku apabila mereka sudah menjadi pembangkang tak kira Tunku Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad ataupun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.Semasa 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, UMNO cuma menampilkan dirinya sebagai pejuang kaum dan agama, kurang berminat pasal reformasi institusi sekalipun boleh menguntungkannya sebagai kerajaan negeri dan pembangkang.

Syor-syor reformasi kini telah diajukan oleh pemimpin UMNO seperti Tok Mat, Datuk Seri Azalina dan Datuk Nazri Aziz selepas Langkah Sheraton. Namun, ramai berpandangan bahawa UMNO dan politik wang/dedak berpisah tiada. Berbicara pasal reformasi dengan UMNO itu bagaikan mengajak harimau memakan sayur.

Jadi mungkinkah UMNO memperjuangkan reformasi? Saya rasa mungkin, bukan kerana UMNO sudah jinak menjadi ‘harimau vegetarian’ berhemah tinggi dan bermurah hati, tetapi kerana ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’, memeluk reformasi kini mungkin lebih untung daripada menolaknya.

Sistem politik tanah air mempunyai sekurang-kurangnya dua ‘barah’ yang parah. Pertama, penyalahgunaan kuasa untuk mendapatkan kuasa atau imbuhan peribadi dan mewujudkan jaringan dedak. Kedua, diskriminasi terhadap parti pembangkang supaya mereka lemah dan tidak berupaya memenangi hati rakyat sekalipun prestasi kerajaan sangat lemah.

Kerana had ruangan, hari ini saya cuma sentuh ‘barah pertama’ dan kupas mengapa reformasi untuk buang barah ini boleh menguntungkan UMNO.

Dalam sebuah ‘jaringan dedak’, pak atau ibu menteri tidak cuma kayakan diri dan keluarga mereka, tetapi juga melimpahi hulubalang mereka dengan pelbagai imbuhan yang turut berkongsi ‘rezeki’ dengan anak-anak buah masing-masing, dan secubit dedak akhirnya sampai ke rakyat miskin yang meminta bantuan di pusat perkhidmatan kawasan. Akibatnya ahli politik yang ‘bersih’ akan dilihat sebagai ‘kedukut’ atau ‘tidak prihatin rakyat’ dan mudah dikalahkan dalam pemilihan parti dan PRU. Untuk tidak kehilangan undi kerana kekeringan wang, maka ramai pemimpin dan parti politik menerima ‘dermaan’ daripada taikun-taikun dan kemudian membayar budi mereka dengan kontrak kerajaan yang lumayan.

Artikel Berkaitan:

Penyakit ini dahulunya cuma menghantui UMNO dan BN. Dengan Pakatan menerajui beberapa negeri-negeri mulai 2008 dan sampai kemuncaknya ke Putrajaya pada 2018, barah ini telah secara diam-diam merebak ke semua parti utama, yang berbeza cuma tahap dan skala kerosakannya.

Barah ini boleh diubati apabila jawatan menteri tidak lagi menjamin kekayaan dan kekebalan undang-undang apabila parti menerima dana daripada kerajaan dan tidak lagi bergantung kepada tauke dan taikun, apabila kontrak kerajaan bukan lagi rahsia rasmi dan apabila rakyat menilai wakil rakyat atas dasar awam dan bukan atas budi peribadi.

Persoalannya, apa keuntungan kepada UMNO untuk meninggalkan politik dedak? Pertama, ia menguntungkan sebilangan pemimpin UMNO yang berkaliber dan boleh menang hati rakyat tanpa bergantung kepada dedak. Kedua, UMNO boleh memecahkan monopoli PH dalam agenda reformasi.

Kalau gembira sepanjang hayat,

Usah kejar segala kehendak,

Kalau boleh menang hati rakyat,

Usah gadai jiwa demi dedak.

*Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!