Bapa tunggal derita strok otak rayu bantuan

Hilmie (tengah) bersama anak-anaknya ketika ditemui di rumah flat di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Selasa.
Hilmie (tengah) bersama anak-anaknya ketika ditemui di rumah flat di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang bapa tunggal merayu kepada pihak yang prihatin supaya dapat menghulurkan sumbangan untuk meringankan bebannya.

Hilmie Dalip, 47, yang tinggal menyewa di sebuah rumah flat di Taman Air Biru di sini berkata, sejak mengalami strok otak hampir setahun lalu, tidak lagi mampu bekerja.

Menurutnya, dia tinggal bersama-sama tiga anak iaitu Mohd Adam, 12, serta Mohd Harraz dan Mohd Harriz, masing-masing berusia lapan tahun yang bersekolah di Tahun Enam dan Tahun Dua.

"Walaupun sudah berpisah dengan isteri dan mendapat hak penjagaan bersama, anak-anak tinggal bersama-sama saya. Saya tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM150 sebulan.

"Hidup saya agak tertekan kerana memerlukan RM1,980 untuk membayar sewa rumah yang sudah tiga bulan tertunggak, hutang van sekolah serta bil air dan elektrik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan dan sumbangan kilat daripada wakil enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di rumahnya pada Selasa.

NGO berkenaan ialah Volunteer Pasir Gudang, Pertubuhan Kebajikan Satu Hati, Community Southern Tiger, Pertubuhan Kaka, LSMC dan Kreg Official.

Hilmie bagaimanapun bersyukur kerana semua anaknya mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selain RM100 setiap seorang.

Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berkata, bekas isteri Hilmie sudah berkahwin baharu dan tinggal di blok yang sama dalam kawasan flat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang anak-anak Hilmie tinggal dan bermalam di rumah bekas isterinya itu yang juga ibu kepada anak-anak berkenaan," jelasnya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalur sumbangan menerusi akaun 1510-580021-3236 (RHB Bank) atas nama Hilmie.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!