Zaquan Adha berpuasa di Kelantan
KOTA BHARU - Pelajar di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Pengkalan Chepa, Zaquan Adha Abdullah, 39, hanya mampu menyimpan rindu terhadap keluarga terutama ibunya kerana tidak dapat pulang ke kampung akibat pandamik Covid-19 yang melanda negara.
Dia kini berjauhan dengan keluarga dan menjalani ibadah puasa Ramadan kali kedua di Kelantan.
Pelajar di bawah tajaan Jabatan Agama Islam Sabah (JAIS) terpaksa mengharungi keadaan itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini menyebabkannya tidak dapat merentas negeri.
Zaquan Adha yang berasal dari Kudat, Sabah berkata, dia memeluk agama Islam pada tahun 2016.
“Saya terlalu merindui ibu, Londinah Malimbat, 62, yang berada kampung kerana dua tahun sudah tidak dapat menziarahinya. Ibu tahu saya memeluk Islam dan dia merestui.
“Hampir setiap hari saya menelefonnya untuk melepaskan rindu dan walaupun kami berbeza agama, saya selalu memohon agar ALLAH sentiasa menjaganya untuk saya,” katanya ketika ditemui di IDIP, di sini, pada Rabu.
Berkongsi mengenai namanya, Zaquan berkata, dia meminati penyerang bola pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak dan sukan bola sepak.
“Nama saya sebelum ini ialah David dan apabila memeluk Islam saya gunakan nama baharu. Hidup saya sangat gembira walaupun berada jauh dari kampung.
“Hati saya lebih tenang berbanding dulu. Jika sebelum Islam saya akan terus memukul jika ada yang melakukan kesilapan Sekarang, saya lebih banyak diam jika tidak puas hati kerana Islam tidak mengajar kita membalas kejahatan dengan kejahatan,” katanya.
Dia turut berkongsi perjalanan kisahnya menerima hidayah daripada ALLAH SWT melalui mimpi didatangi empat lelaki berjubah dan berserban putih menyuruhnya membaca empat baris ayat dalam bahasa Arab yang tidak diketahui apatah lagi difahaminya.
“Mereka suruh saya baca tetapi saya tidak tahu baca. Akhirnya, lelaki keempat membacakan ayat itu dan kemudian terbit cahaya putih yang terang berderang sehingga saya terjaga daripada tidur.
“Hati saya memberontak ingin tahu menyebabkan saya pergi ke JAIS dan saya memberitahu ustaz untuk memeluk agama Islam.
“Ketika sudah Islam dan belajar mengaji al-Quran, saya baca surah al-Ikhlas dan barulah saya tahu dan dapat ingat dalam mimpi saya itu adalah surah al-Ikhlas,” katanya sebak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!