Calon PH akan pastikan program ceramah ada permit
SEMENYIH – PH akan memastikan setiap program ceramahnya sepanjang kempen PRK DUN Semenyih mempunyai permit polis.
Calon PH, Muhammad Aiman Zainali berkata, beliau akan memastikan program ceramahnya yang akan dilaksanakan selepas ini mempunyai permit.
“Saya perlu memeriksa setiap ceramah yang akan diadakan selepas ini mempunyai permit ia termasuk jemputan ceramah yang harus saya hadiri,” katanya selepas melakukan walkabout di Pasar Pagi Pekan Semenyih di sini hari ini.
Muhammad Aiman diminta mengulas mengenai program Pemuda PH yang dihentikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di tapak pasar malam Taman Jenaris, Kajang malam tadi kerana dipercayai tidak mempunyai permit polis.
Muhammad Aiman yang dijadualkan sebagai penceramah terakhir pada program itu bagaimanapun tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.
Arahan untuk menghentikan ceramah tersebut dikeluarkan SPR sebaik sahaja dua penceramah selesai memberikan ucapan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!