KKM cadang rentas negeri sambut Hari Raya Aidilfitri ditangguh

Dr Adham
Dr Adham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasi penularan pandemik Covid-19 masih membimbangkan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini berikutan rungutan serta rayuan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

"Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan. Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku 'Malaysia Health Sector Response to Covid-19: Perspectives From The Field’, di pejabatnya, di sini pada Khamis.

Malaysia mencatatkan 1,889 kes Covid-19 semalam (14 April) berbanding 1,767 kes pada Selasa.

Ditanya mengenai kemungkinan mereka yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan untuk rentas negeri, Dr Adham berkata, pihaknya masih menunggu dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

“Kita masih menunggu dapatan ini untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan,” katanya.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan, Dr Adham memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kegagalan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.

Katanya, kerajaan memandang serius mengenai perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan ditutup sekiranya terdapat kluster baharu dipercayai daripada aktiviti bazar.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan lakukan siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan punca yang tepat. Mudah bagi kita untuk kesan punca atau tempat bermula jangkitan.

Sekiranya penganjur tidak bertanggungjawab, kita tidak teragak-agak kenakan kompaun,” katanya.

Mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun kepada individu yang gagal mematuhi SOP, beliau berkata, lantikan di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu bertujuan memastikan tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah tinggi.

Berkuat kuasa Rabu, Kementerian Kesihatan telah menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP bazar Ramadan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!