Klopp puas hati walaupun Liverpool tersingkir

Pemain Liverpool kelihatan kecewa gagal ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila terikat tanpa jaringan dengan Real Madrid pada awal pagi Khamis
Pemain Liverpool kelihatan kecewa gagal ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila terikat tanpa jaringan dengan Real Madrid pada awal pagi Khamis
A
A
A

BIARPUN tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berpuas hati dengan aksi pasukannya itu walau terikat tanpa jaringan dengan Real Madrid bagi aksi suku akhir kedua di Anfield pada awal pagi Khamis.

Menurut Klopp, skuad kendaliannya dilihat berjaya memberikan tekanan hebat kepada benteng pertahanan pelawat di sepanjang perlawanan biarpun gagal menjaringkan sebarang gol.

Malah katanya, kesemua pemain dilihat telah memberikan aksi terbaik masing-masing dalam usaha menjaringkan dua gol awal bagi memadamkan kelebihan agregat dimiliki skuad Los Blancos itu yang menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Madrid, minggu lalu.

“Kami memulakan perlawanan dengan begitu baik dan seharusnya menjaringkan gol pada peringkat awal, tetapi kami gagal melakukannya.

“Apa pun, yang penting, kami tidak tewas pada perlawanan ini. Ya, kami tewas di Madrid, tetapi jika kami berjaya mendahului 1-0 di sini, ia bakal menjadi perlawanan dengan keputusan yang berbeza.

“Bagaimanapun berdepan dengan skuad berpengalaman seperti Real Madrid, ia nyata bukan tugas yang mudah,” katanya.

Penyerang Liverpool, Sadio Mane cuba melakukan percubaan ke gawang Real Madrid pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield pada awal pagi Khamis
Penyerang Liverpool, Sadio Mane cuba melakukan percubaan ke gawang Real Madrid pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield pada awal pagi Khamis

Biarpun lebih banyak menguasai perlawanan sejak wisel permulaan selain memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan, The Reds dilihat buntu untuk menjaringkan gol pada awal pagi Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kegagalan menjaringkan gol itu sekali gus menyaksikan juara edisi 2018/19 itu terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh gergasi La Liga itu dan sekali gus tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara kali ini.

Sementara itu, Klopp berazam untuk meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan The Reds dapat terus bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Katanya, hasrat berkenaan boleh dicapai berdasarkan kepada persembahan serta semangat yang ditunjukkan pemain ketika berdepan Real Madrid.

“Dengan aksi seperti ini, saya yakin, Liverpool akan kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!