Johor bakal bina akademi al-Quran
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan membangunkan akademi al-Quran dalam usaha mendidik generasi muda ke arah celik al-Quran.
Exco Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanti berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad telah mengarahkannya untuk membentuk satu jawatankuasa perancangan bagi pembinaan akademi itu.
"Peringkat awal perancangan akademi al-Quran ini akan merangkumi semua aspek pembelajaran dan mempunyai asramanya sendiri.
"Akademi ini sedang dikenal pasti lokasinya. Insya-ALLAH penentuan tempat ini kita akan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas Festival Sekolah Agama Angkat KPRJ di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini.
Dalam pada itu, Tosrin turut menjelaskan, pembinaan akademi itu sebagai usaha untuk melahirkan qari dan qariah dari Johor yang terbaik bukan sahaja di peringkat negeri tetapi antarabangsa.
Katanya, sudah lama negeri ini tidak meraih tempat johan qari dan qariah dalam Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.
"Saya rindu untuk melihat wakil dari Johor mendapat tempat Johan qari atau qariah di Majlis Tilawah al-Quran. Rasanya sudah lama kita tidak bergelar Johan," katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Johor mendapat tempat Johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan bagi qari pada tahun 2007 manakala qariah pada tahun 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!