Pelayan restoran didakwa cederakan teman wanita

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelayan restoran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas teman wanitanya dengan menggunakan sebatang tukul besi, bulan lepas.

Bagaimanapun, Mohd Izham Hiffnie Mahadir, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Norzalizawati Md Nor, 41, menggunakan sebatang tukul besi di sebuah rumah kedai di Taman Desa di sini pada kira-kira 8 malam, 3 Mac lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan difahamkan tiada ahli keluarga tertuduh hadir ke mahkamah untuk menjaminnya.

Dalam prosiding itu, Mohd Izham Hiffnie tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!