Bukan sekadar pertandingan, kilauan pingat biasa-biasa
SUKAN para bukan hanya mengenai pertandingan dan kilauan pingat tapi ia memainkan peranan penting sebagai medium pemulihan dan cara lain untuk melihat kehidupan bagi Orang Kurang Upaya (OKU), kata ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean (APG) 2021 Vietnam di Hanoi pada 17 hingga 23 Disember depan.
Kolonel (B) Mohd Nor Azam Ariffin yang kehilangan kaki kanannya kerana terpijak jerangkap samar ketika pemberontakan komunis itu berkata, sukan memainkan peranan penting tatkala seseorang mulai putus asa akibat sesuatu kejadian yang mengubah kehidupan mereka.
Mengimbas kembali insiden yang mengubah kehidupannya, pada masa itu beliau mengetuai platun ketika mereka diserang hendap oleh pemberontak komunis, seminggu selepas berbalas tembakan di daerah Sadao, Selatan Thailand pada 1978.
Kira-kira 10 pagi, leftenan muda itu tersilap langkah lalu terpijak jerangkap samar. Letupan itu telah menyebabkan kaki kanannya terputus manakala kaki kirinya turut mengalami cedera ringan.
Nasib baik, seorang daripada pegawai berjaya menyelamatkan Mohd Nor Azam dengan mengikatkan tali pinggang di kakinya bagi mengurangkan kehilangan darah. Selepas empat jam menunggu di medan perang yang dikelilingi musuh, sebuah helikopter akhirnya tiba untuk membawa anggota cedera bagi menerima rawatan di Pulau Pinang.
Sejak itu, Mohd Nor Azam bergantung kepada kaki palsu namun ia tidak menghalang bekas anggota tentera berusia 62 tahun itu daripada bergiat aktif dalam bidang sukan, sama ada sebagai atlet mahupun sebagai pentadbir, sejak tiga dekad lepas.
Beliau mengambil masa setahun untuk mengikuti proses pemulihan sebelum bergelar atlet sukan badminton para dan mewakili negara ke peringkat Asean.
“Sukan adalah medium penting untuk membina keupayaan mereka yang mengalami kecederaan menyebabkan kecacatan atau mereka yang dilahirkan dengan kecacatan. Dengan cara ini (sukan) mereka boleh menyumbang kepada masyarakat dan bukannya bergantung kepada masyarakat sebagai punca pendapatan.
“Penglibatan orang kurang upaya dalam sukan dapat membantu mereka dalam membina jati diri kerana keinginan untuk masuk dalam gelanggang pun satu daripada pencapaian untuk bersaing,” katanya dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Sebagai ketua kontinjen negara ke APG di Hanoi, Mohd Nor Azam berkata, beliau sedia memikul tanggungjawab untuk mencapai sasaran pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di temasya itu.
“Menguruskan dan memberi motivasi kepada 250 hingga 300 atlet para dalam 11 sukan bukan tugas mudah, tapi saya akan cuba sebaik mungkin. Saya berharap temasya sukan ini akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Mohd Nor Azam tidak asing dalam gerakan sukan para di Malaysia, dan memiliki pengalaman luas dalam arena sukan sebagai bekas pemain badminton para kebangsaan, bekas ahli majlis eksekutif MPM, bekas ahli jawatankuasa badminton para Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas setiausaha agung Persekutuan Sukan Para Asean. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!