Kereta terbakar, pemandu hangus
PETALING JAYA - Sebuah kereta ditemui hangus bersama pemandunya dalam kejadian di Jalan PJU 1A/1 menghala Jalan Lapangan Terbang Subang(LTAAS), di sini, jam 4.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis BMW itu terbabas sebelum melanggar pokok dan terbakar.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dalam tempoh 15 minit.
"Pemeriksaan menunjukkan kereta dan pemandunya hangus 100 peratus di lokasi.
"Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan kita juga dalam proses untuk mengesan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan," katanya memberitahu keadaan jalan lurus dan mempunyai empat lorong di lokasi.
Menurutnya, polis juga sedang mengesan ahli keluarga atau waris bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!